Pemenang pingat sertai Larian Baton Komanwel

in Sukan by


KIRA-KIRA 300 peserta termasuk pemenang pingat pada edisi  Sukan Komanwel terdahulu akan menyertai Larian Baton Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018), di negara ini bermula esok.


Antara atlet negara yang mengambil bahagian pada larian itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, adalah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1978 di  Edmonton, Kanada, Datuk James Selvaraj serta pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, Wong Choong Hann.


Presiden Persekutuan Sukan Komanwel Malaysia (CGAM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata  baton berkenaan yang baru tiba dari Sri Lanka, akan berada di Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga Sabtu, sebelum berlepas ke destinasi seterusnya di Brunei.


“Malaysia adalah negara ke-54 baton itu menjelajah, bermula dari Istana Buckingham bersempena Hari Komanwel pada 13 Mac lepas, selepas Ratu Elizabeth II menyampaikan mesej baginda kepada negara-negara Komanwel melalui larian baton GC2018 itu,” katanya kepada media di sini hari ini.


Baton itu akan menjelajah sejauh 230,000km selama 388 hari melalui 70 negara Komanwel sebelum tiba di Australia, di mana mesej Ratu Elizabeth II itu akan dibaca semasa majlis pembukaan rasmi GC2018 pada 4 April, tahun depan.


Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung di Gold Coast, Queensland  Australia.


Nama kesemua 70 negara Komanwel diukir pada baton berkenaan.


Ia juga mempunyai Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) yang membolehkan pengesanan baton berkenaan selama 24 jam menerusi internet sepanjang menjelajah di seluruh dunia. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]