Penantian bakal berakhir

in Edisi by


YAN – Setelah sekian lama menunggu pemberian rumah yang dijanjikan, mangsa hakisan pantai sekitar Kampung Kuala Dulang, di sini bakal menerima kunci rumah di Taman Maufakat Dulang pada 6 November ini.


Pengerusi Jawa-tankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, rumah di Taman Maufakat Dulang itu dibina khas untuk mangsa hakisan pantai di sekitar Kampung Kuala Dulang.


“Seramai 78 penerima bakal menerima kunci pada tarikh tersebut dan 40 daripadanya merupakan mangsa hakisan pantai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, di Balai Bomba Yan, semalam.


Katanya, kesemua mereka telah pun melalui proses temu duga dan telah melepasi syarat serta kelayakan yang ditetapkan.


“Rumah berkenaan telah dibina oleh Yayasan Haji Zainudin sebanyak 100 unit dan lebihan unit tersebut akan dibuka kepada mereka yang layak dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tinggal di Mukim Dulang,” katanya.


Ku Rahman berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan wang sebanyak RM5 juta bagi menyiapkan segala prasarana seperti kemudahan jalan, lampu, air, elektrik dan sebagainya bagi membolehkan penghuni tinggal dalam keadaan selesa dan selamat.


“Pihak kerajaan negeri turut membina tapak pasar di hadapan perumahan berkenaan bagi membolehkan penghuni rumah tersebut menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung keperluan hidup mereka.


“Kerajaan telah memperincikan pelbagai perkara bagi memastikan rakyat dapat merasai kesenangan,” katanya.


Ditanya berkaitan syarat yang dikenakan, Ku Rahman berkata, terdapat beberapa syarat yang dikenakan kepada penerima antaranya ialah merobohkan rumah lama mereka.


“Kita bimbang terdapat agenda lain sekiranya rumah lama mangsa hakisan pantai yang terletak di sekitar persisiran pantai tanah milik kerajaan tidak dirobohkan,” katanya.


Katanya, syarat-syarat lain kepada penerima bakal diumumkan oleh Menteri Besar Kedah pada 6 November nanti.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]