Penasihat Kanan Antara meninggal dunia

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. Penasihat Kanan Kantor Berita Nasional Indonesia (Antara) Mohamad Saiful Hadi Idham, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Siloam di sini malam tadi.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Antara itu yang lebih dikenali sebagai Saiful sebelum ini dilaporkan sering masuk keluar hospital kerana menderita penyakit kencing manis.


Suasana pilu menyelubungi seluruh anggota keluarga dan orang ramai sebaik jenazah tiba di rumahnya di Jalan Fatmawati di sini pada pukul 8 pagi dan anak kedua Allahyarham Saiful, Sahira melangsungkan majlis akad nikah di hadapan jenazah ayahnya.


Majlis akad nikah itu diadakan atas permintaan keluarganya kerana Allahyarham Saiful sebelum ini begitu sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anaknya yang dijadualkan tidak lama lagi.


Pengurus Besar Sumber Manusia Antara, Inderahadi Kartakusumah dalam kenyataannya berkata Saiful meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi dan jenazahnya dikebumikan di kompleks pemakaman KH Idham Chalid di Cisarua, Bogor selepas majlis akad nikah itu.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rina dan tiga orang anak – seorang lelaki dan dua perempuan.


Saiful adalah anak kepada seorang pemimpin Nahdatul Ulama dan pejuang kemerdekaan Idham Chalid dan semasa memimpin Antara, beliau memainkan peranan penting dalam menjalinkan hubungan dua hala antara wartawan Malaysia dan Indonesia.


Allahyarham dilantik sebagai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) bahagian Indonesia dan menganjurkan pelbagai aktiviti bertujuan merapatkan hubungan antara pengamal media Indonesia dengan pengamal media Malaysia.


Selain itu, Allahyarham Saiful juga adalah Presiden Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (Yirmi) iaitu sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti sosiobudaya antara kedua-dua buah negara dan beliau juga mengasaskan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Yayasan Kerukunan Indonesia-Malaysia (Yakim) yang kini di peringkat penubuhannya.


Sementara itu Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihak kedutaan menyifatkan Malaysia kehilangan seorang tokoh wartawan Indonesia yang begitu akrab dengan Malaysia.


Katanya Allhayarham Saiful telah memainkan perana penting dalam komunikasi media antara kedua-dua buah negara dan sentiasa menekankan pentingnya perpaduan rakyat antara Malaysia-Indonesia.


“Saiful Hadi adalah instrumental dalam mengerakkan Yirmi dan Yakim dan kita berharap ada pihak yang akan meneruskan usaha Allahyarham yang gigih dalam aktiviti mengeratkan hubungan antara rakyat dengan rakyat di kedua-dua buah negara,” katanya kepada Bernama di sini.


Kedutaan Besar Malaysia pernah menganugerahkan beliau sebagai ‘Tokoh Wartawan’ pada satu majlis Malam Media anjuran kedutaan itu awal tahun ini.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]