Penyair anjur Bengkel pemantapan puisi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) buat pertama kalinya menganjurkan Bengkel Pemantapan Puisi: Penulisan dan Deklamasi secara berkolaborasi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke arah melahirkan golongan generasi puisi yang mantap dari segi keupayaan dan keyakinan diri dalam penghasilan karya mereka.


Penganjuran bengkel dikendalikan oleh Tokoh Penyair Prof. Datuk Rahman Shaari yang juga merangkap Bendahari Penyair pada Sabtu lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penyertaan seramai 30 orang yang terdiri daripada pelajar dan peminat puisi tanah air.


Presiden Penyair,  A. Rahim Abdullah berkata, usaha ini adalah sebagai inisiatif persatuan untuk mengenal pasti isu dan permasalahan di peringkat awal bagi menyelaras percambahan fikiran di kalangan generasi masa kini.


“Adalah menjadi harapan kami akan terlahirnya lebih ramai lagi golongan muda yang bakal menjadi pelapis bagi meneruskan perjuangan dengan melahirkan karya yang bermutu dan dikagumi ramai.


“Selaras dengan hasrat Penyair sendiri untuk berada di tengah-tengah masyarakat dalam memartabatkan Bahasa dan Kesusteraan Melayu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.


Majlis perasmian Bengkel Pemantapan Puisi disempurnakan oleh A. Rahim sebagai mewakili Saiful Yahya, Ketua Bahagian Akademiki DBP manakala majlis penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Presiden Penyair Datuk Dr. Radzuan Ibrahim@Wanrazuhar.


Tambahnya lagi,  sebenarnya bakat-bakat penyair ini telah dapat dililhat dengan kesediaan peserta datang untuk berkursus ataupun berbengkel.


“Namun begitu ada di antara mereka yang baru hendak mendalami ilmu penulisan dan sikap sebegini perlu ada dalam pemikiran setiap mereka untuk menambahkan ilmu menjadi penyair yang prihatin.


“Serta sasterawan yang sentiasa berwaspada dan sentiasa tersentuh jiwanya dari semasa ke semasa berdasarkan pengalaman semasa di tanahair sendiri mahupun apa yang sedang berlaku di luar sana,” tambahnya.


Jelasnya lagi, Mendakap Tema merupakan suatu tagline yang tinggi yang memang sukar untuk dipegang oleh penulis-penulis muda,  namun dengan kesedaran bertapa pentingnya ilmu pengetahuan di samping bakat yang sedia ada, seseorang itu harus belajar sebaik mungkin.


“Kita sedar bahawa sesetengah pelajar di peringkat awal persekolahan ataupun di pengajian tinggi mereka berbakat besar, tetapi bila keluar mereka tidak meneruskannya.


“Sikap sebeginilah yang akan merugikan bakat yang sedia ada, tetapi tidak diteruskan untuk diguna ataupun untuk disumbangkan kepada masyarakat ke arah kelangsungan pembangunan minda bangsanya,” katanya.


Sementara itu, bagi Rahman pula, beliau begitu berpuas hati apabila setiap peserta memberikan tumpuan serius dalam pembelajaran yang disampaikan.


“Ini jelas apabila apabila tujuan dan pefahaman konsep yang diperkenalkan mudah untuk mereka fahami sepanjang pengajaran yang saya persembahkan kepada mereka.


“Insya-ALLAH apabila ilmu diperolehi, saya yakin dikalangan mreka boleh membawa cara baru dalam penghasilan karya mereka dan dapat menghasilkan karya-karya yang mantap dan kuat,” katanya.


Bengkel pada hari itu di bahagi kepada empat sesi di bawah tajuk Pengenalan Puisi, Pembinaan Idea dan Penghasilan serta Struktur Bahasa dan Pemurnian, manakala sesi ke empat adalah Pengajaran Deklamasi Puisi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]