'Pulau Pinang mampu pergi lebih jauh'

in Sukan by


PULAU Pinang meneruskan cabaran mereka pada Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2017 dengan melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Putrajaya FA 3-1 pada suku akhir kedua di Stadium USM, kelmarin.


Dua jaringan Muhammad Shahrulnizam dan satu lagi menerusi Muhammad Nazrul Najmi telah membawa pasukan itu untuk berdepan Selangor pada 21 Oktober ini sebelum aksi timbal balik di laman sendiri seminggu kemudiaan.


Pasukan itu muncul pasukan tunggal dari utara selepas Perlis gagal meneruskan kemaraan ke kelompok empat pasukan terbaik apabila tewas dengan agregat 3-1 kepada Selangor.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Pulau Pinang, Mohd Azlan Hyder Ali berkata, pasukannya berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri namun gol pertama hanya muncul pada penghujung separuh masa pertama minit ke-45.


Menurutnya, kemnya cemas seketika apabila Putrajaya FA menyamakan kedudukan pada minit ke-63 namun seminit kemudian Pulau Pinang kembali di hadapan 2-1.


“Kami berjaya mematikan harapan pelawat untuk bangkit apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-82


“Berdasarkan kemampuan dan prestasi menyakinkan pasukan saya percaya Pulau Pinang mampu melangkah lebih jauh sehingga mara ke peringkat akhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Hadir sama memberikan sokongan adalah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang juga Penasihat Persatuan Bolasepak Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]