Realiti sengsara pelarian Rohingya

in Nasional by


SUASANA sukar dan perit, kanak-kanak kecil pelarian Rohingya di satu sudut dilihat sangat tidak terurus, tidak berpakaian malah kelihatan seperti tidak sihat.


Perut mereka buncit!, manakala wanita, pemuda dan orang tua pula  kurus kering seperti orang yang tak cukup makan.  


Begitulah realiti yang dapat dilihat di Kem Pelarian Rohingya, Ukhia, Cox’s Bazar, Bangladesh, serba serbi kelihatan daif dan memilukan.  


Rombongan SINAR4ROHINGYA yang berkesempatan melihat sendiri ‘perjalanan’ hidup mereka di sini bagaikan tidak percaya  bahawa masih ada bangsa di dunia ini yang menjalani hidup sedemikian rupa.  


Jika dilihat pada pola kehidupan mereka, dapat dikatakan cara hidup mereka sangat minimum, tinggal di ‘rumah’ yang tidak layak dianggap rumah, serta sempit dan sesak seperti reban ayam!  


Di sana sini kelihatan pelarian berjalan ke hulu ke hilir bagaikan tiada arah tuju, kerana tiada tempat yang mereka boleh pergi melainkan di dalam kawasan sekitar kem berkenaan.  


Kerana tiada kad pengenalan diri, mereka tidak dibenarkan bekerja di luar kem pelarian, hanya menanti bantuan tiba selain melakukan aktiviti minimal seperti mengambil upah mengangkat barang bagi memperoleh sesuap makanan.  


Namun begitu, sejak akhir-akhir ini masyarakat dunia mula membuka mata mengenai penderitaan yang mereka alami. 


Ketika ini bantuan mulai tiba, sekolah-sekolah sementara dibina, klinik, tandas, dan surau-surau dibina bagi memenuhi tuntutan harian mereka. 


Ini termasuklah bantuan dana SINAR4ROHINGYA menerusi sumbangan rakyat Malaysia yang disalurkan terus ke tangan mereka yang memerlukan.


Melalui dana berkenaan beberapa kemudahan telah dibina bagi memberi keselesaan kepada pelarian Rohingya antaranya pembinaan tandas, tempat tinggal, dan perigi, serta bantuan makanan dan perubatan.  


Menurut penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Syukur Abdullah, 25, kehidupan mereka sangat daif dan amat memerlukan bantuan. 


Katanya, mereka tidak mampu untuk melakukan pekerjaan di luar kem kerana tiada kad identiti diri.  


Menurutnya, kebanyakan daripada mereka hanya hidup dengan seadanya, selain cuba membuat apa-apa sahaja pekerjaan yang ada bagi meneruskan hidup.  


“Kami perlu kuat untuk teruskan hidup,” katanya kepada Sinar Harian.  


Berkongsi kisahnya di kem berkenaan Syukur berkata, baru-baru ini kem mereka diserang gajah.  


“Lima orang mati dipijak,” katanya yang memaklumkan bahawa kawasan kem tempat mereka tinggal merupakan kawasan haiwan liar.  


Namun katanya, mereka tetap bersyukur kerana masih mampu menumpang hidup walaupun bukan di negara sendiri.  


Balukhali yang juga antara kem pelarian tumpuan di Ukhia, Cox’s Bazar mempunyai lebih 48,000 pelarian Rohingya dengan lebih separuh daripadanya adalah pelarian yang tiba dari barat Myanmar sejak 25 Ogos lalu.


Tentera Myanmar didakwa membakar rumah etnik Rohingya untuk menghalau mereka keluar dari negara majoriti penganut Buddha itu.  Rohingya bukan hanya tidak diiktiraf sebagai rakyat di Myanmar melalui Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 sebaliknya dinafikan hak untuk hidup sebagai manusia. 


Pergerakan mereka juga dihadkan, tiada akses kesihatan dan pendidikan sempurna dan dikenakan kawalan kelahiran, terutama di utara Rakhine (kawasan majoriti Rohingya seperti di Maungdaw, Rathidaung dan Buthidaung).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]