Tak kisah bawa lori sampah

in Edisi Selangor KL by


BILA saya nampak lori sampah, terus saya cakap nak bawa lori tu. Mungkin ALLAH SWT nak bagi jalan sebab ketika itu saya ada masalah pendapatan,” kata Zubaidah Riduan, 40, yang memandu lori sampah sejak empat tahun lalu.


Dia yang kini bekerja sebagai pemandu lori di syarikat KDEB Waste Management (KDEB Waste) berkata, sejak dulu dia memang gemarkan kerja yang lasak dan jarang wanita ceburi.


“Sebelum ni, saya buat macam-macam kerja antaranya bawa teksi, bawa van dan jadi penghantar makanan ringan. Tapi bawa lori sampah akhirnya jadi kerjaya tetap sehingga sekarang.


“Lepas ambil anak angkat, tanggungjawab saya semakin besar dan perlukan pendapatan tetap untuk sara anak saya,” katanya.

Zubaidah tidak pernah mengeluh melakukan kerja lasak kerana semuanya dilakukan atas minat serta keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat


Tambahnya, meskipun bidang tersebut jarang diceburi wanita, namun pengalaman melayakkannya diterima bekerja di syarikat KDEB Waste.


“Tak ada masalah walaupun saya perempuan. Rakan-rakan sekerja yang semuanya lelaki juga tak pandang serong sebaliknya saling membantu selesaikan tugasan.


“Jam 6.30 pagi saya dah ke depoh ambil lori menuju ke kawasan Kundang bagi mengutip sampah pukal sekurang-kurangnya tiga trip sehari dan pulang selepas semua sampah dikutip,” katanya.


Perlukan keberanian


Zubaidah berkata, mengendalikan kenderaan ringan atau berat tidak jauh beza sebaliknya cukup dengan berbekalkan keberanian dan kecekapan.


“Cuma sedikit masalah jika lalui jalan sempit kena lebih berhati-hati. Lori tak boleh dipandu laju sebab membawa muatan.

Zubaidah bersama lori sampah yang dipandu sebagai mata pencarian


“Saya seronok bawa lori sampah bukan semata-mata kerana gaji tapi sebab dapat berikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.


Sepanjang empat tahun bawa lori, pengalaman yang tidak mungkin dilupakan apabila tong bawa muatan sisa binaan tercabut dari cangkuk sewaktu membuang sampah di kawasan lereng bukit.


“Masa tu ada sikit berdebar sebab jika tersilap boleh jadi lori yang dipandu saya turut sama jatuh ke bawah. Jika muatannya berat mungkin kepala lori terangkat sama. Tapi, Alhamdulillah insiden tersebut tidak serius dan saya tak alami kecederaan.


“Itu semua saya anggap sebagai pengalaman yang menambahkan lagi kemahiran,” katanya.


Sokongan keluarga


Zubaidah akui penglibatannya di dalam sektor ini dipengaruhi bapanya yang juga pemandu bas.


“Adik dan abang saya juga  ada yang kerja bawa lori, cuma kalau yang perempuan hanya saya seorang bekerja di bidang ini.


“Mak saya juga tak ada masalah sebab mak tahu minat saya.

Zubaidah menunjukkan lesen dimiliki yang membolehkannya bekerja sebagai pemandu lori.


“Kalau ada yang bersuara pun dalam kalangan saudara-mara yang meminta saya cari kerja yang lebih sesuai.


“Saya tak pasti berapa lama saya akan terus berkhidmat dalam bidang ni. Tapi buat masa ni saya selesa dengan pekerjaan ni.


“Saya juga telah memperolehi lesen E dan sekarang ni dalam proses mendapatkan GDL E bagi membolehkan saya membawa lori kompektor,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]