Warga asing ditahan kes bunuh di Kinabatangan

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Polis dapat menyelesaikan satu kes bunuh di Kinabatangan semalam dengan tertangkapnya seorang warga asing.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.


Beliau berkata mangsa merupakan seorang pekerja di Ladang Gomantong, Paris 2.


“Suspek pada mulanya pergi ke rumah mangsa untuk meminta dia dan keluarganya keluar dari rumah pekerja itu memandangkan mangsa sudah dua bulan tidak datang bekerja. Bagaimanapun mangsa tidak mengendahkan permintaan itu.


“Mangsa yang turut dilemparkan batu oleh suspek menjadi marah dan bertindak mengambil pisau dan mengejar suspek sehingga suspek melarikan diri,” katanya pada sidang media hari ini.


Ramli berkata suspek kemudiannya datang semula ke rumah mangsa dengan membawa parang dan menetak mangsa. Mangsa yang ditetak melarikan diri ke kawasan blok kelapa sawit dan ditemui mati oleh isteri dan anak-anaknya, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.


Suspek turut cedera di perut akibat ditikam mangsa dengan pisau dan dipercayai telah mendapat rawatan di hospital, katanya.


Sementara itu dalam kes berasingan, polis  menahan tujuh warga asing berikutan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai ditikam hingga mati di sebuah rumah kongsi di Ladang Sinar Wanita, Ranau semalam.


Ramli berkata warga Filipina berumur 30 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka tikaman.


Tujuh lelaki berusia antara 19 hingga 52 tahun itu ditangkap di ladang itu tengah hari tadi dengan polis turut menemui sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam insiden itu.


“Difahamkan kesemua suspek dan mangsa dipercayai minum dan mabuk ketika kejadian,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]