Dedahkan murid kemahiran ikhtiar hidup

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Seramai 48 murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Banting teruja diuji ketahanan mental dan fizikal menerusi perkhemahan unit beruniform sekolah itu di Sungai Limau Resot, di sini.


Pelbagai aktiviti lasak, menarik serta menguji kemahiran ikhtiar hidup terpaksa dilalui murid termasuk menggagau ikan,  kembara malam, permainan strategi, lumba lari berhalangan , persembahan kebudayaan dan kuliah agama.


Guru Besarnya,  Azman Juahir berkata, perkhemahan anjuran Unit Kokurikulum sekolah itu adalah aktiviti tahunan unit itu sebagai satu cabang pembelajaran luar bilik darjah selain mengisi masa terluang murid tahun 6 selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


“Kita mengharapkan setelah melalui aktiviti ini murid lebih mempunyai keyakinan diri serta mendapat sedikit kemahiran ikhtiar hidup agar mereka lebih berjaya pada masa hadapan, “ katanya.


Menurut Azman,  perkhemahan itu dikendalikan 23 guru yang diketuai Penolong Kanan Kokurikulum, Arbaiyah Nizamuddin selain fasilitator yang disediakan oleh pihak resort terutama dalam aktiviti lasak dan menguji kekuatan fizikal  serta mental.


“Kerjasama semua guru dan kakitangan sekolah dalam menjayakan perkhemahan amat saya hargai dan diucapkan terima kasih ,”katanya.


Peserta perkhemahan, Mohd Aqif Mohd Amir, 12, berkata,  perkhemahan itu memberi kesan baik dan pengalaman itu tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidupnya.


“Walaupun penat buat aktiviti lasak, tapi saya seronok. Saya seronok menggagau ikan dan kembara malam,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]