KPTM lahir penuntut berpendidikan kelas dunia

in Nasional by


BANGI – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) giat melahirkan anak bangsa yang profesional dan berpendidikan kelas dunia dalam pelbagai program pengajian di institut pengajian tinggi itu.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, KPTM cawangan Bangi berjaya dalam mengendalikan Program Transnasional KPTM dengan Dublin Business School Ireland menerusi Program Bachelor of Arts (Honour) in Accounting and Finance (BAAF).


“Program BAAF ini adalah sebagai batu loncatan untuk pelajar mendapat kelayakan professional daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), di mana BAAF telah mendapat pengecualian kepada sembilan daripada empat belas kertas ACCA,” katanya.


Awang Adek berkata, yuran yang ditawarkan untuk program pengajian berkembar itu, jauh lebih murah berbanding pengajian di luar negara atau universiti swasta yang lain.


“Pengajian di dalam program ini hanya selama tiga tahun, jumlah pelajarnya juga semakin meningkat, seramai 353 pelajar mengikuti pengajian itu pada tahun ini, berbanding 214 pelajar pada tahun lalu,” katanya.


Beliau berkata, pengajian di KPTM juga sesuai dengan dasar kerajaan yang mahu mewujudkan modal insan yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal dan vokasional.


“Kita tahu ini yang dihasratkan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kepakaran teknikal ini boleh memberi pendapatan yang lebih tinggi berbanding kelulusan akademik biasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke KPTM di Bangi, tadi.


Hadir sama Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM, Nordin Ahmad.


Awang Adek berkata, beliau akan sentiasa turun padang pada setiap minggu untuk mendekati kakitangan Mara termasuk anak syarikatnya.


“Saya suka memberi semangat dan nasihat kepada para pegawai dan kakitangan Mara agar mereka memberi khidmat yang lebih baik untuk masyarakat. Secara tidak langsung mereka turut menghargai kehadiran saya dalam sesi lawatan itu,” katanya.


Dalam perkembangan berasingan, KPTM akan melangsungkan Majlis Konvokesyen Ke-34 pada 28 hingga 30 Oktober ini yang akan menyaksikan seramai 5,578 graduan dari cawangan KPTM dan KUPTM (Kolej Universiti Poly-Tech MARA) menerima diploma dan ijazah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]