Lari dari daerah pengawasan polis, penganggur didakwa

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melarikan diri dari daerah pengawasan polis yang ditetapkan, hujung bulan lalu.


Lim Y’ng Jin, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli.


Tertuduh yang berada dalam pengawasan polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) didakwa telah melarikan diri dari daerah yang diperintahkan dalam perintah pengawasan polis di sebuah rumah di Jalan Sungai Penchala 2, Pinggiran TTDI, di sini, pada 3 pagi, 29 September lalu.


Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga itu dituduh telah melanggar perintah pengawasan di mana dia tidak dibenarkan untuk keluar dari daerah Kuala Lumpur antara 8 malam hingga 6 pagi kecuali jika mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah.


Pertuduhan mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan sebarang jaminan kerana  kesalahan itu tidak boleh dijamin.


Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 November untuk sebutan semula kes. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]