Mawilla 2 pasikan perairan terpelihara

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Pengoperasian Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di daerah ini penting dan kritikal bagi memastikan kedaulatan di kawasan perairan negara sentiasa terpelihara.


Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyifatkan ia seiring dengan landskap geopolitik semasa yang begitu pantas berubah dan semakin mencabar yang menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM melaksanakan pendekatan yang lebih praktikal dan efektif bagi memelihara keselamatan perairan negara.


Katanya, dalam aspek Sabah, perbezaan geostrategik antara pantai barat dan pantai timur Sabah memerlukan strategi serta pendekatan baharu yang lebih tersusun, sistematik dan bersesuaian dengan keadaan perairan di kedua-dua kawasan operasi maritim.


“Saya percaya pengoperasian Mawilla 2 berupaya meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan, kecekapan dan pengurusan operasi TLDM,” katanya ketika merasmikan Pengoperasian Mawilla 2 di Pangkalan TLDM Sandakan di sini, hari ini.


Hadir sama, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.


Mawilla 2 sebelum ini berpangkalan di Kota Kinabalu dan dipindahkan ke Pangkalan TLDM Sandakan yang memulakan pengoperasian pada 30 Ogos lepas.


Musa berkata dengan ini, penugasan operasi di perairan pantai barat Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.


Katanya penugasan operasi di kawasan perairan pantai timur Sabah pula akan dilaksanakan Mawilla 2 di Pangkalan TLDM Sandakan.


Beliau berkata segala usaha dan inisiatif kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pertahanan dan ATM jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan keselamatan negara dan rakyat khususnya di kawasan perairan negeri Sabah sentiasa terpelihara.


Dalam pada itu, beliau menekankan akan pentingnya peranan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan perairan dan pulau-pulau, agar sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan.


Katanya ia bagi membolehkan apa juga ancaman dari aspek keselamatan dapat ditangani secara bersama, dengan lebih pantas dan berkesan.- Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak
{$inline_image}
[featured-video-plus]