Pelajar dalang serangan Better Beer Festival

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan rancangan serangan ‘Better Beer Festival 2017’ dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk suspek utama  di Pasir Puteh, Kelantan, pada 10 Oktober lalu.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya percaya semua suspek ini bukan sahaja mensasarkan Better Beer Festival, tetapi juga merancang untuk menyerang pusat hiburan dan rumah ibadat bukan Islam.


“Dalam serbuan di restoran ini, tiga suspek berjaya dicekup yang terdiri daripada dalang utama berusia 19 tahun yang juga merupakan pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan.


“Suspek kedua pula berusia 34 tahun merupakan bekas tentera  daripada bahagian istiadat di Kem Sungai Besi dan suspek ketiga pula adalah kontraktor binaan berusia 25 tahun,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Antara barang yang dirampas.


Beliau berkata, pihaknya percaya suspek utama yang bakal menduduki peperiksaan pada 6 November depan menghasilkan bahan letupan IED.


Katanya, mereka ini dikesan telah menjalankan ujian IED di kawasan lapang di Pasir Puteh pada 28 September yang berjaya diletupkan. Namun satu gas paip yang cuba diletupkan di belakang rumah suspek gagal meletup.


Tambah Mohamad Fuzi, bertindak hasil maklumat dan risikan Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas, Bukit Aman telah menggeledah rumah suspek utama ini dan merampas pelbagai barang IED, gas paip seberat kira-kira 600 gram, enam keratan paip PVC, lapan bateri AA, enam biji mentol dan dua buah telefon bimbit.


Turut dirampas adalah sebungkus mercun bola, bunga api, mancis, sumbu mercun, karbait, lukisan dipercayai merupakan formula IED dan pelbagai peralatan.


“Ditegaskan bahawa polis menafikan kononnya kita sengaja mereka maklumat berhubung wujudnya ancaman di festival tersebut. Ini adalah ancaman serius kerana impak IED ini boleh mencederakan dan menyebabkan kematian dalam jarak 30 meter.


“Siasatan awal juga mendapati suspek kedua yang merupakan bekas tentera ini  mempunyai kaitan dengan kumpulan Gagak Hitam yang membaling letupan di kelab malam Movida di Puchong, tahun lalu,” katanya.


Mengulas lanjut tentang bagaimana pelajar tingkatan enam itu mampu menghasilkan bahan letupan IED, Mohamad Fuzi menjelaskan, banyak elemen yang dikesan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan sumber daripada suspek kedua selain pengetahuan siber daripada elemen mereka di Syria.


“Kita lihat daripada pelbagai sudut kemungkinan ada ‘orang’ di belakang suspek ini,” katanya.


Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijangka diadakan pada 6-7 Oktober ini.


DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam.


Penganjuran pesta itu sebelum ini dibantah keras oleh Pas yang turut menggesa para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]