Pemilik restoran rugi RM30,000

in Edisi by


SUNGAI PETANI – Seorang pemilik restoran di Bandar Laguna Merbok mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas beg tangan miliknya lesap dipercayai dilarikan empat beranak yang berpura-pura sebagai pelanggan.


Mangsa, Shahalini Mohamad Yusoff, 46, mendakwa, suspek terdiri daripada seorang wanita dan tiga anak masuk ke restoran miliknya kira-kira jam 4.23 petang, 9 Oktober lalu untuk memesan empat bungkus minuman.


Anak lelaki suspek kemudian dipercayai dengan sengaja menjatuhkan kotak minuman yang sedang dibawa, di hadapan kaunter duit seterusnya cuba mengangkat semula tetapi tidak diizinkan mangsa kerana berdekatan dengan tempat simpan beg tangan walaupun dalam keadaan bertutup.


Bagaimanapun, salah seorang anak perempuan suspek memesan dua lagi minuman seolah-olah mahu mangsa meninggalkan kaunter.


“Saya terpaksa keluar dari kaunter untuk memesan minuman tambahan tetapi selepas saya ke hadapan semula, mereka sudah beredar. Selepas itu, saya meneruskan kerja seperti biasa tanpa mengesyaki sesuatu.


“15 minit kemudian, baharu saya sedar pintu kaunter tempat simpan beg tangan terbuka dan beg sudah lesap.


“Dalam masa sama, merasa curiga apabila minuman yang dipesan empat beranak tidak diambil walaupun sudah dibayar,” katanya.


Menurutnya, selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia percaya perbuatan mencuri itu dilakukan empat beranak terbabit, yang kemudian beredar menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza warna putih.


Kerugian dianggarkan lebih RM30,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan dokumen peribadi.


Shahalini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berhubung kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Menurutnya, hasil siasatan menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu dan didaftarkan atas nama pemilik di Batu Caves.


“Bagaimanapun, maklumat dan gambar menerusi rakaman CCTV telah disalurkan kepada pasukan operasi untuk tindakan lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]