Pendikir tersohor Kelantan kritikal

in Edisi by


KOTA BHARU – Pendikir tersohor Kelantan, Nordin Yusoff, 56, atau lebih dikenali Megat Nordin kini ditempatkan di wad Mahsuri Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal awal pagi tadi.


Dia dimasukkan ke wad berkenaan jam 3 pagi ini,  selepas dilaporkan mengalami muntah-muntah, batuk dan sesak nafas.


Isteri beliau, Khairolnisa Md Dioh berkata, keadaan kesihatan suaminya agak merosot sejak dua bulan lalu dan bertambah kritikal sejak akhir-akhir ini.


“Dia langsung tidak selera makan dan menurut doktor hatinya juga turut mengalami kerosakan dan kini tahap kanser di bahagian hatinya sudah sampai ke tahap 4.


“Sebelum ini dia dirujuk ke Hospital Universiti Malaysia Kubang Kerian dan kini ke HRPZII.  Walau apapun rawatan yang dijalani saya harapkan agar ramai yang mendoakan keadaannya bertambah baik, ” katanya.


Sementara itu, penerbit rancangan Dikir Radio Televisyen Malaysia RTM Kelantan, Ros Lem Che Sof berkata, pihaknya amat bersimpati dengan keadaan Megat Nordin dan sebagai antara kenalan lama beliau, dia mengharapkan agar peminat dikir dan rakyat Kelantan mendoakan supaya kesihatan Megat Nordin kembali pulih.


“Beliau antara pendikir yang banyak memberi kerjasama dengan pihak RTM dan sering ke udara dalam rancangan Dikir yang bersiaran setiap Rabu di radio RTM, ” katanya.


Sementara itu, peminat dikir Kelantan Mohamed Aswady Adenan berkata, dia turut mendoakan kesihatan Megat Nordin agar kembali pulih.


“Kita sama- sama membantu dan memberi semangat kepada beliau dan semoga kesihatan beliau bertambah baik,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]