Permohonan reman Boy Iman ditolak mahkamah

in Semasa by


KUANTAN – Permohonan polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman juga dikenali sebagai Boy Iman membabitkan kes penipuan penjualan rumah murah ditolak Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.


Majistret Nordiana Abd Aziz menolak permohonan itu selepas menerima alasan relevan berkaitan penahanannya yang dikemukakan oleh peguam, Faizul Mohd Nasir.


Permohonan reman untuk siasatan kes itu telah ditolak buat kali kedua selepas permohonan sama di lakukan di Majistret Bukit Mertajam, Ahad lalu.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima alasan beliau bahawa anak guamnya telah direman di beberapa mahkamah sejak ditahan pada 2 Oktober lalu.


“Tempoh itu sudah mencukupi untuk pihak polis melengkapkan siasatan dan tiada keperluan lagi untuk menahan reman anak guam saya selama empat hari seperti yang diminta hari ini kerana siasatan melibatkan kes yang sama, cuma mangsa yang berbeza.


“Jadi tiada keperluan untuk polis terus menahan anak guam saya kerana semua mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan,” katanya semasa ditemui pemberita di sin, hari ini.


Faizul juga berharap Noruliman, 37, yang juga Pengarah Urusan DBI Properties dan dua lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berusia 30 dan 45 tahun itu benar-benar dibebaskan hari ini, berdasarkan keputusan terkini mahkamah.  


Katanya ini ekoran penahanan semula semua anak guamnya pada hari sama Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang menolak permohonan reman yang dikemukakan polis pada 15 Oktober lalu.


“Anak guam saya sudah terlalu lama dibawa ke sana ke sini. Beliau sendiri amat berharap dapat dibebaskan hari ini kerana sudah lama tidak bertemu keluarga. Saya harap polis dapat mempertimbangkan perkara ini.


“Kejadian terkini di Pulau Pinang menyebabkan anak guam saya bimbang jika ditahan semula menyebabkan beliau meminta saya untuk berada di sini sehingga petang ini,” katanya.


Noruliman ditahan reman sebelum ini di Ampang dan Shah Alam di Selangor; Muar, Johor; Sungai Petani dan Kubang Pasu di Kedah serta Kangar, Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan menipu.


Sebelum ini, polis menerima sebanyak 210 laporan berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan oleh dua syarikat termasuk DBI Properties yang diidakwa menawarkan harga rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih rumah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]