Platform terbaik untuk graduan

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Program Internship Anak Muda Negeri (Iman) merupakan platform terbaik graduan muda Kedah menimba pengalaman bekerja sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.


Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Iman dicetuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam Majlis Amanat 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar Kedah pada 2016.


“Program Iman yang memberi peluang mahasiswa mempelajari dan memahami aspek pengurusan dan pentadbiran mendapat sambutan baik dalam kalangan graduan sejak diperkenalkan.


“Kali ini, kita akan membuat pengambilan 50 peserta untuk ditempatkan di 40 agensi terlibat antaranya pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK), exco kerajaan negeri dan jabatan dalam tempoh enam bulan,” katanya.


Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan sesi temuduga Iman 2.0 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, semalam.


Menurutnya, program Iman adalah inisiatif dalam mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa di negeri ini yang dilihat mampu menjadi batu loncatan untuk graduan nanti.


“Walaupun berskala kecil, program ini dilihat berjaya memberi peluang pekerjaan kepada graduan terpilih.


“Kalau peserta Iman mempamerkan keupayaan dan prestasi baik ketika program di tempat ditempatkan, mereka berpeluang ditawarkan untuk meneruskan perkhidmatan,” katanya.


Katanya, walaupun ada yang tidak diserap semula, bagaimanapun pengalaman diperoleh dari program Iman boleh digunakan di jabatan, agensi, syarikat atau perniagaan diceburi mereka.


Shaiful Hazizy berkata, seramai 25 peserta program Iman 1.0 telah tamat latihan selama enam bulan dengan menunjukkan prestasi mengagumkan di jabatan masing-masing.


“Malah, 15 peserta cemerlang Iman 1.0 ditawarkan sebagai kakitangan selepas tamat program. 10 peserta memilih untuk diserap masuk, manakala lima lagi ditawarkan pekerjaan lebih baik,” katanya.


Tambahnya, untuk Iman 2.0, peserta akan memulakan program di jabatan, agensi dan anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) bermula November depan hingga April 2018.


“Tahun lepas, kita ambil 25 peserta Iman. Kali ini, kita buka kepada 50 orang. Insya-ALLAH, bilangan peserta akan ditambah pada sesi akan datang berikutan sambutan baik daripada mahasiswa.


“Graduan terpilih mengikuti Iman 2.0 akan menerima elaun RM1500 sebulan, malah akan dibawa mengikuti kursus kepimpinan, dandanan diri dan kursus lasak demi meningkatkan kemahiran mereka.


Sementara itu, Pengurus Besar Institut Pengurusan dan Intergriti Negeri Kedah Datum Aman (ISPIN), Syed Shaharuddin Syed Abdullah berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan graduan menghadiri sesi temuduga itu.


Syed Shaharuddin berkata, graduan yang mengikuti sesi temuduga menunjukkan keterampilan, mutu dan kualiti yang amat baik, sekali gus membuktikan anak Kedah tidak kurang hebatnya.


“Lebih 400 permohonan diterima untuk menyertai program Iman 2.0, bagaimanapun hanya 260 pemohon yang disenarai pendek mengambil bahagian dalam sesi temuduga.


“Daripada jumlah itu, kita akan memilih 50 graduan untuk mengikuti latihan di agensi terpilih dalam program Iman 2.0, berbanding hanya 25 graduan tahun lalu,” katanya.


Graduan Diploma Pengurusan Kolej Teknologi Pulau Pinang, Manarina Nur Mat Zaki berkata, dia ingin mencuba nasib menghadiri sesi temuduga terbabit dengan harapan terpilih untuk menyertai program Iman 2.0.


“Pada pandangan saya, program Iman 2.0 amat baik untuk mahasiswa sepertinya. Saya bukan hanya dapat menimba ilmu, malah pengalaman yang boleh digunakan di tempat lain,” katanya.


Ibunya, Asmawati Ahmad, 61, berkata, dia turut menyokong usaha kerajaan negeri menganjurkan program sedemikian khususnya kepada graduan muda untuk menimba pengalaman.


“Saya enggan anak perempuannya lepaskan peluang dapat kerja baik, sekali gus sanggup datang jauh dari Sungai Petani semata-mata sertai sesi temuduga itu,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]