RM20 juta tambah sistem amaran, ramalan banjir

in Edisi by


KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menerima peruntukan kira-kira RM20 juta dalam usaha meningkatkan sistem ramalan dan amaran banjir, sekaligus membolehkan rakyat lebih bersedia dengan musim tengkujuh.


Pengarahnya, Kamal Mustapa mengingatkan rakyat supaya tidak lagi berada dalam stigma banjir berlaku dari Novermber hingga Disember, sebaliknya dengan perubahan cuaca masa kini, banjir dijangka boleh berlaku dari November hingga akhir Januari tahun hadapan.


“Daripada peruntukan RM20 juta ini, kita akan membina tambahan 20 stesen bacaan hujan dan 21 stesen siren pada tahun ini di seluruh Kelantan terutama kawasan pedalaman seperti Gua Musang dan Kuala Krai.


“Buat masa ini, kita sudah mempunyai 25 stesen bacaan hujan dan 28 stesen siren bagi memberi ramalan dan amaran awal kepada penduduk jika berlakunya bencana banjir besar,” katanya menyampaikan taklimat kepada media, di sini, hari ini.


Kamal berkata, biarpun bilangan stesen tersebut sudah mencukupi, namun berdasarkan pengalaman banjir 2014 hingga 2016 lalu, pihaknya mahu meningkatkan lagi kecekapan bagi melakukan ramalan banjir.


“Berdasarkan kajian JPS Negeri, kita sudah mengenalpasti 225 kawasan di seluruh Kelantan mempunyai risiko tinggi berlaku banjir setiap kali musim tengkujuh.


“Malah, sememangnya monsun Pantai Timur berlaku bermula November, namun disebabkan ribut tropika, hujan akan dilanjutkan sehingga Januari, jadi kita jangan ingat banjir hanya sehingga Disember sahaja,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, pihaknya turut mengemaskini laman www.publicinfobanjir.gov.my untuk kegunaan orang ramai bagi meninjau paras sungai dan bacaan hujan.


“Sebenarnya untuk mengetahui paras air semasa banjir, pemahaman dan cara membaca data mengenai paras air di laman website JPS sangat penting supaya penduduk berjaga-jaga terutama bagi yang terpaksa berpindah.


“JPS Negeri  akan mengadakan taklimat kepada penduduk di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dalam masa terdekat dalam membolehkan mereka lebih peka dan berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]