Sains didenda RM220,000 atas dua kesalahan

in Semasa by


SEREMBAN – Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Sdn Bhd dikenakan denda RM220,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan tidak mematuhi syarat lesen individu dua tahun lalu.


Hakim, Ahmad Fairuz Mohd Puzi menjatuhkan hukuman itu terhadap Sains yang diwakili Pengurus Undang-Undangnya, Zainal Abidin Mohd Khamis.


Mengikut pertuduhan, Sains sebagai pemegang lesen individu bertarikh  1Januari 2015,  tidak mematuhi syarat standard ditetapkan apabila mensubkontrakkan sebahagian daripada aktiviti yang dilesenkan, kepada syarikat Hatimuda Sdn Bhd untuk tujuan pengurusan, pengoperasian dan penyelanggaraan  dua loji rawatan air di daerah ini tanpa memberi notis bertulis kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam tempoh 60 hari sebelum ia dilakukan.


Keadaan itu juga menyebabkan Sains tidak mematuhi syarat khas ditetapkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ke atas lesen individu.


Kesalahan itu dilakukan pada 27 Oktober 2015 di Loji Rawatan Air Sungai Terip, Kilometer 10, Jalan Jelebu, Seremban


dan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi, Kilometer 17, Jalan Jelebu, Seremban


Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 10(1)(a) dan 10(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 10(2) akta sama.


Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPAN, Azjamaatuliza Farrah Jamludin dan Mohd Helmy Razelan dan Sains diwakili peguam Hasbullah Mohammad.


Mahkamah memberi tempoh sehingga Khamis ini untuk Sains menjelaskan denda terbabit.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]