Sasar 12,340 kakitangan JKNT isytihar harta

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan seramai 12,340 kakitangannya di seluruh negeri membuat pengisytiharan harta.


Pengarahnya, Dr Mohammad Omar berkata, setakat ini sebanyak 99.9 peratus kakitangan kesihatan telah melaksanakan pengisytiharan harta khususnya dalam menangani isu berkaitan rasuah.


“Pengisytiharan harta dilakukan setiap lima tahun. Setakat ini hampir kesemua kakitangan kita telah membuat pengisytiharan harta, baki yang belum hanya melibatkan kakitangan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.


Seramai 220 kakitangan kesihatan hadir bagi mengangkat lafaz ikrar disaksikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Terengganu, Zainal Ayop.


Dalam pada itu, Mohammad berkata, pihaknya mengingatkan mana-mana kakitangan supaya melaporkan kepada ketua jabatan sekiranya berdepan sebarang situasi berkaitan rasuah.


Selain kes rasuah, katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan yang berdepan masalah disiplin atau terlibat dalam salah laku membabitkan integriti.


“Kita minta setiap kakitangan supaya tidak merahsiakan sebarang perkara berkaitan rasuah, perlu lapor kepada ketua jabatan sekiranya menerima sebarang hadiah atau sebarang pemberian dengan nilai yang tidak berpadanan atau tidak munasabah.


“Selain itu, kita kini memberi tumpuan terhadap sebarang jenis tuntutan termasuk tuntutan perjalanan atau bulanan yang tidak munasabah bagi mengelak terjadinya kes tuntutan palsu,” katanya.


Sementara itu, Zainal berkata, seramai 2,000 kakitangan kesihatan negeri menyertai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) menjadikan ia sebagai jabatan terbanyak mengumpul keahlian dalam tempoh satu hari.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]