Simbolik hargai jasa Martin Lister

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Siapa Martin Lister? Nama itu mungkin kedengaran agak janggal buat generasi muda bagaimanapun, tugu peringatannya telah dibina di Pekan Kuala Pilah sebagai simbolik Residen pertama Negeri Sembilan.


Pembantu Muzium Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Syahril Tahirrul Zainal Abidin berkata, residen adalah sebuah jawatan perwakilan diplomatik diwujudkan pentadbiran British bagi melicinkan pentadbiran di tanah jajahan dan naungannya.


“Pada 1875 selepas Perjanjian Pangkor, British melantik beberapa orang Residen di Negeri-negeri Melayu bersekutu iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perak serta Pahang. Ia bertujuan menjadi penasihat kepada sultan negeri-negeri ini.


“Pada 1860-an dan 1870-an berlaku kacau bilau di negeri ini akibat perang antara Dato’ Bandar dengan Dato’ Kelana di Sungai Ujong. Ia tercetus kerana kepentingan masing-masing dalam sektor perlombongan bijih timah.


“Selain pertelingkahan antara dua orang besar ini, beberapa masalah perpecahan dan kekacauan turut berlaku di Rembau, Seri Menanti serta Jelebu sehingga mendorong campur tangan British.


“Akhirnya pada 1888 setelah semua kemelut selesai dengan Tampin satu-satunya terkecuali, kesemua negeri bersepakat untuk menerima pernaungan dan perlindungan daripada British,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya, pada 18 Mac 1889, Yamtuan Tuanku Muhammad yang juga Yamtuan Seri Menanti menandatangani satu perjanjian dengan Undang Yang Empat, membawa kepada pembentukan awal Negeri Sembilan meliputi Seri Menanti, Johol, Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir dan Inas.


“Di antara isi kandungan perjanjian ini adalah bersetujunya Undang Yang Empat untuk mengiktiraf Yamtuan Tuanku Muhammad sebagai Yamtuan kepada keempat-empat Luak disatukan itu, seterusnya membentuk sebuah negeri yang dinamakan sebagai Negeri Sembilan.


“Yamtuan dan para Undang Yang Empat juga bersetuju menerima seorang Penasihat British yang bernama Martin Lister.


“Melalui sebuah konfederasi dinamakan Negeri Sembilan, kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua unit pentadbiran yang diakui oleh Inggeris. Pertama ialah kawasan bahagian Timur mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu). Ia di bawah Residen Sungai Ujung iaitu W.F.B. Paul. Kedua bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan terletak di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.


“Martin Lister merangkap Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan menjalankan tanggungjawabnya sejak awal tertubuhnya persekutuan Negeri Sembilan pada 1888 hingga 1897,” katanya.


Justeru, pembinaan tugu peringatan atas usaha memperingati jasa Residen British pertama Negeri Sembilan.


Difahamkan, terdapat pintu gerbang besar bercirikan seni reka Cina di tepi jalan utama Kuala Pilah ke Bahau, di dalamnya terdapat tugu peringatan ini.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]