Strategi perangi dadah secara bersama

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri akan berkerjasama dalam usaha memastikan strategi memerangi dadah dapat diselaraskan peringkat pusat dan negeri.


Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, fenomena penyalah gunaan dadah di setiap negeri adalah berbeza, oleh sebab itu strategi antara kerajaan negeri dan pusat melalui agensi terbabit seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu dilihat secara terperinci.


“Lawatan kerja ini nak pastikan kerajaan pusat dapat menyelaraskan strategi bersama kerajaan negeri.


“Dulu kes penyalah gunaan dadah di Hulu Selangor dilaporkan tinggi, tapi sekarang dah turun. Ia berlaku atas usaha yang telah dilaksakan kerajaan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ahli jawatankuasa Pemadam, di sini hari ini.


Menurutnya dari segi penagih baharu, tidak dinafikan setiap tahun ada penambahan , namun masalah dadah belum lagi meruncing di negara ini berbanding yang dialami Amerika Selatan ataupun Eropah.


“Eropah telah mengaku kalah dalam program penguatkuasaan, sampai mereka meminta ingin dihalalkan bagi kegunaan persendirian.


“Kita belum lagi kalah dalam hal penguatkuasaan dadah ini. Tapi kita ada cara  untuk memulihkan panagih dadah bukan dengan cara menghukum sahaja, jadi inilah perkara yang ditumpukan kerajaan di mana kita nak adakan kerjasama di peringkat jabatan kerajaan pusat dan kerajaan negeri tanpa mengira perbezaaan fahaman politik,” katanya.


Katanya, satu permohonan juga akan dikemukakan kepada kerajaan pusat agar diberi peruntukan yang lebih kepada AADK dalam usaha memantapkan penguatkuasaan mereka.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, Selangor mencatatkan antara negeri yang merekodkan jumlah penyalah gunaan dadah tertinggi kerana faktor penduduknya yang ramai.


Katanya, kira-kira lapan buah sekolah di Selangor dikenal pasti mempunyai kalangan pelajar yang positif dadah, namun jumlah sebenar tidak diketahui.


“Oleh sebab itu perkara ini harus dikekang lebih awal supaya ia tidak berterusan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]