Tokan dadah dicekup polis

in Edisi by


PENDANG – Dua lelaki tempatan ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 29.02 gram dan syabu seberat 14.50 gram di Kampung Bukit Chepat pada jam 1.30 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritenden Fadzil Hashim berkata, lelaki berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan kerana didapati duduk dalam keadaan mencurigakan di bawah lampu jalan di atas jalan raya di kampung tersebut.


“Kedua-dua suspek duduk berdua secara mencangkung menghadap sesama sendiri di atas jalan raya dan apabila polis yang melalui lokasi tersebut memberhentikan kenderaan untuk memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan,” katanya.


Menurut Fadzil, polis turut menjumpai satu bungkusan paket plastik lut sinar yang berikat getah berwarna oren, satu pemetik api bewarna biru, satu sudu besi dan satu alat penimbang digital.


“Polis juga turut merampas wang tunai sebanyak RM3,007 yang dipercayai hasil daripada jualan dadah.


“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis meth,” katanya.


Katanya, suspek akan ditahan reman selama lima hari dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]