Tragedi Kepala Air: Musibah tak diduga

in Edisi Utara by


NAMPAK tenang, namun bahaya! Kehadirannya juga tanpa diduga.


Aliran airnya yang tenang, dengan deruan arus mengasyikkan ditambah pula saujana kehijauan alam sekitar menjadikan pusat rekreasi air terjun sentiasa menjadi pilihan seisi keluarga.


Pada pandangan kasar, ia tidak berbahaya berbanding mandi di laut. Namun risiko bahaya tetap ada biarpun ramai yang terlepas pandang.


Dalam sekelip mata, suasana nyaman itu boleh bertukar tragedi jika kita alpa akan aspek keselamatan. Fenomena kepala air bukanlah perkara baharu, sejak berzaman kewujudannya ditakuti khusus penduduk setempat yang mengetahui bagaimana kejadian alam itu berlaku.


Ikuti kupasan Sinar Harian berhubung kejadian ini di daerah Kubang Pasu, Kuala Nerang dan Kuala Muda. Semoga dijadikan panduan dan iktibar demi menyelamatkan nyawa tersayang.


Pengunjung perlu pandang serius petanda awal


Pada musim cuti sekolah ini, orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi pusat rekreasi air terjun ketika hujan kerana ‘kepala air’ boleh berlaku tanpa diduga apabila hujan turun di kawasan hulu sungai atau puncak bukit.


Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu diselangi hujan lebat beberapa hari juga membahayakan pengunjung di air terjun kerana kuantiti takungan air di hulu bertambah.


“Kepala air akan datang secara tiba-tiba tanpa amaran. Kita


tak akan menyedari kehadirannya sebab laluan air terjun berliku dan tidak lurus, maka laluan air dari atas tak nampak pada pandangan mata, menyebabkan pengunjung harus waspada sepanjang masa,” katanya.


Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, pengunjung hendaklah peka dengan perubahan keadaan air.


“Antara petanda awal akan berlaku kepala air ialah riak air seakan berkocak, diikuti kehadiran ranting kayu atau sampah kecil dihanyutkan, serta warna air yang keruh.


Pada masa sama, paras air juga meningkat sebelum turunnya limpahan besar arus deras,” katanya.


Mohd Zahar berkata, pengunjung hendaklah segera beredar kerana kepala air ini boleh berlaku dalam tempoh singkat.


“Ia hanya berlaku pada musim hujan lebat, jadi tunggulah sehingga musim hujan tamat, selepas itu kunjungilah. Ini kerana


kebanyakan air terjun ada kepala air, bezanya saiz kecil atau besar. Risiko tetap ada, jangan ambil mudah,” katanya.


Sehubungan itu pengunjung dinasihatkan mengambil empat langkah berjaga-jaga sebelum berkunjung ke pusat peranginan.


“Ketika memasuki kawasan air terjun, perhatikan papan tanda amaran di sekeliling untuk maklumatsama ada ia tempat berlakunya kepala air. Sebahagian tempat diletakkan papan tanda mungkin kerana pernah berlaku kejadian di situ,” katanya.


Mohd Zahar berkata, bagaimana pun sebahagian besar pusat peranginan khususnya air terjun tiada papan notis amaran mengenai bahaya kepala air.


“Semua pihak harus menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahu lebih banyak papan tanda amaran dipasang di lokasi berisiko


dalam daerah masing-masing. Ia amat berguna kepada pelancong mahupun penduduk luar daerah kerana libatkan aspek keselamatan dan nyawa,” katanya.


Menurutnya, langkah kedua adalah maklumkan kepada JBPM atau Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekiranya berkunjung ke lokasi rekreasi air.


“Sepatutnya maklum awal supaya kami tahu kehadiran pengunjung, hanya perlu laporkan jumlah peserta dan lokasi.


Malangnya ia sukar mendapat kerjasama pihak penganjur perkelahan. Saya nasihatkan pihak sekolah atau IPT maklum sebelum kelokasi,” katanya.


Mohd Zahar berkata, seterusnya, penganjur hendaklah merujuk kepada JBPM atau APM mengenai lokasi dilawati sama ada bahaya, berisiko atau selamat.


“Akhir sekali, ikuti nasihat dikeluarkan JBPM dan APM serta papan tanda amaran jika ada, kerana kita tak tahu bila bahaya akan datang,” katanya.


Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan agar pihak sekolah masukkan aspek keselamatan dan bahaya di pusat peranginan dalam mata pelajaran bersesuaian, sebagai maklumat tambahan.


“Kebanyakan pelajar mahupun dewasa tidak tahu apa itu kepala air. Pihak kami sentiasa adakan ceramah di sekolah dan IPT berhubung risiko di tempat peranginan secara berterusan, selain ceramah berkaitan kebakaran,” katanya.


 


 


 


 


 


 




 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]