Warga emas panik laung azan

in Edisi by


MUADZAM SHAH – Seorang ibu bersama anaknya yang berusia setahun melalui detik cemas apabila bumbung rumah mereka di Cenderawasih di sini, diterbangkan angin dan dinding roboh akibat dilanda ribut kelmarin.


Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, rumah dua beranak ini antara kira-kira 25 rumah yang turut menerima nasib sama dengan mengalami pelbagai kerosakan.


Herawati Hendra, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama anak lelakinya itu sedang berada dalam bilik dan tiba-tiba terdengar bunyi angin bertiup kuat.


Menurutnya, selang lima minit kemudian dia terdengar sekali lagi angin kuat dan pada kali ini deruman angin berkenaan merosakkan bumbung dan dinding rumahnya.


“Dua kali angin datang. Kali kedua tu terus terbangkan bumbung di ruang tamu, bilik depan dan bilik belakang manakala dinding pula roboh. Nasib baik bilik yang saya duduk ketika tu selamat. Lepas keadaan reda saya keluar dan lari ke rumah jiran,” katanya.

Pokok-pokok di tepi jalan turut tumbang namun telah dibersihkan


Herawati berkata, dia tinggal berdua sahaja dengan anaknya kerana suami bekerja di Rompin dan balik pada hujung minggu.


Katanya, kejadian ribut itu pernah berlaku tahun lalu namun tidak seteruk yang berlaku pada petang kelmarin.


“Tahun lepas atap rumah je yang tercabut, kali lagi teruk sampai dinding pun roboh. Setakat ni saya tak pasti berapa jumlah kerugian,” katanya.


Warga emas laung azan


Seorang wanita warga emas, Poniam Salimun, 68, yang tinggal seorang diri di rumah bertindak melaungkan azan apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin.


Katanya, dia panik dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya duduk bersembunyi di dapur kerana berasakan angin tidak kuat di bahagian itu.


“Makcik tengah siap-siap nak solat Maghrib. Tiba-tiba dengar bunyi kuat kemudian tengok bumbung tercabut, ketika itu makcik azan dan lari duduk di dapur.


“Kebetulan suami balik kampungnya di Perak, jadi makcik tinggal seorang diri. Masa tengah ribut tu nak telefon anak tak berani, lepas dah reda baru makcik telefon,” katanya.

Sebuah lori dihempap pokok yang tumbang akibat ribut di Cenderawasih, petang kelmarin.


Dalam pada itu, Yusli Saat, 34, yang menerima panggilan telefon emaknya segera ke rumah untuk melihat keadaan seterusnya membawa ke rumahnya.


Dia yang juga tinggal di Cenderawasih itu bimbang akan tahap kesihatan emaknya yang mengadu sakit dada kerana terkejut.


“Sekarang emak tinggal di rumah saya dan dia pun dah pulih, rumah emak teruk juga sebab bumbung ruang tamu serta bilik diterbangkan angin,” katanya.


Menurut Yusli, seorang kawannya yang ketika kejadian berada luar dari Cenderawasih mengatakan nampak pusaran angin puting beliung.


“Kita yang ada di sini nampak angin kuat, hujan lebat, guruh dan kilat tapi orang berada luar kawasan nampak pusaran angin puting beliung,” katanya..


Kerosakan dialami mangsa telah dinilai


Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Cawangan Muadzam Shah, Mohd Hafis Mohd Saad yang dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sudah ke lokasi untuk bertemu mangsa dan menilai kerosakan.


“Setakat ini maklumat yang diterima 25 buah rumah yang terjejas namun pihak Muip Muadzam Shah masih lagi menjalankan siasatan supaya bantuan bencana dapat disalurkan,” katanya.


 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]