Anak Kelantan di perantauan boleh ubah kerajaan

in Politik by


KUALA LUMPUR – Umno yakin anak Kelantan di perantauan boleh memainkan peranan untuk mengubah kerajaan di Kelantan dalam PRU14.


Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini sokongan mereka terhadap Umno dilihat semakin bertambah.


“Golongan perantau ada peranan penting dalam mencorakkan keadaan politik di Kelantan. Jika dulu jangkaan mereka terhadap kerajaan Pas di Kelantan tinggi.


“Tetapi sekarang saya nampak ada perbezaan. Perantau yang dulu sokong Pas akan beri sokongan kepada Umno,” katanya ketika ditemui di Majlis Assyura Istimewa Perapat OPT di sini, hari ini.


Menurut beliau, sokongan tersebut bukan kerana faktor Umno semata-mata, tetapi atas dasar ingin membuat perubahan terhadap negeri kelahiran mereka.


“Jika dulu ramai pengundi di perantauan pro pemerintah di Kelantan. Cuma kebelakangan ini trend itu sudah berubah.


“Ini kerana mereka tidak fanatik berpolitik sebaliknya nak tengok apa yang baik. Mungkin kerana mereka dah lama beri sokongan kepada kerajaan negeri sekarang tetapi tengok tak ada perubahan,” katanya.


Selain itu, katanya, golongan perantauan juga menerima baik pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di negeri itu.


“Najib telah meletakkan Kelantan sama dengan negeri lain. Contohnya melaksanakan projek membesarkan lapangan terbang, bina lebuh raya dan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).


“Dengan pelbagai prasarana dan peluang pekerjaan, Kelantan juga boleh maju. Malah sebahagian besar perantau tak perlu berada di Lembah Klang dan itu yang mereka harapkan,” katanya.


Mengenai Majlis Assyura Istimewa Perapat OPT, Annuar berkata, ia bertujuan merapatkan ukhwah anak Kelantan di perantauan dengan aktiviti memasak 30 kawah bubur assyura.


“Kira-kira 2,000 anak Kelantan berkumpul memasak bubur assyura yang menjadi tradisi di Kelantan, tetapi kali ini kita bawa aktiviti ini di Lembah Klang,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]