Bantah himpunan, gabungan NGO Selangor lapor polis

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini membuat satu laporan polis mendesak siasatan dilakukan terhadap penganjur perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, Petaling Jaya, dekat sini, Sabtu lepas kerana menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat.


Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini manakala satu lagi laporan sama turut dilakukan di IPD Petaling Jaya, semalam.


Pengerusi gabungan itu, Nor Nazilah Idris berkata pihaknya berasa amat kesal apabila pemimpin Pakatan Harapan menggunakan perhimpunan itu untuk mencetuskan pelbagai provokasi termasuk menyentuh asal usul keturunan sesebuah kaum.


“Kami mahu polis menyiasat isu ini dan kami memohon agar mana-mana bekas pemimpin negara supaya berhenti mengaitkan serta menghina asal keturunan pihak tertentu.


“Rakyat sudah muak dengan senario politik kotor sedemikian sebaliknya jika mahu jadi pembangkang, jadilah pembangkang yang membina dan fokus kepada cara untuk memajukan negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Naib Pengerusi gabungan berkenaan, Zahlan Ridzuan pula berkata laporan tersebut juga dibuat bagi menggesa polis segera mengambil tindakan terhadap segelintir peserta perhimpunan terbabit yang didakwa menggunakan Jalur Gemilang sebagai ‘alas tempat duduk’ mereka.


“Jalur Gemilang adalah lambang dan simbolik kebanggaan kita sebagai sebuah negara yang merdeka namun tindakan pihak tertentu menyalahgunakan bendera harus disiasat kerana ia ibarat menghina kedaulatan Malaysia,” katanya.


Perhimpunan anjuran Pakatan Harapan terbabit gagal mencapai matlamat penganjurannya apabila jauh daripada mencapai sasaran 100,000 peserta. Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menyatakan hanya 4,000 peserta menyertai perhimpunan -Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]