‘Cahaya buat kami sekeluarga’

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sambutan Deepavali kali ini begitu bermakna buat lima sekeluarga apabila mereka menerima khabar gembira dapat menduduki penempatan sementara, di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, dua hari sebelum perayaan tersebut.


P Rama Chandran, 46, dari Sura, Dungun berkata, dia sebelum ini terpaksa berteduh di balai raya Pulau Kambing selama tiga minggu setelah rumah sewanya di Pulau Kambing musnah dijilat api, September lalu.


“Sambutan Deepavali ini benar-benar mendatangkan cahaya untuk kami sekeluarga.


“Saya jangka kami  mungkin akan tinggal di balai raya dalam tempoh lebih lama mungkin sebulan hingga tiga bulan,” katanya kepada pemberita di PPR Hiliran, di sini, semalam.


Kegembiraan tersebut turut dikongsi bersama isterinya, Chua Bee Kim, 45, dan tiga anak perempuannya termasuk sepasang kembar iaitu Ratna Gowry Chua, 21,  Ratna Shanty Chua, 14, dan Ratna Shanny Chua, 14.


Rama Chandran yang  menjalankan perniagaan minuman berkata, perancangan mengadakan rumah terbuka pada tahun ini juga terpaksa ditangguhkan ke tahun depan berikutan kekangan masa.


Mengulas mengenai peristiwa malang menimpanya sekeluarga, dia berkata, kebakaran tersebut menyebabkan dia sekeluarga menanggung kerugian kira-kira RM160,000.


“Ketika kebakaran berlaku, saya sekeluarga menyertai larian Jambatan Sultan Mahmud dan terkejut mendapat berita tersebut,” katanya.


Sementara itu, isterinya turut melahirkan rasa teruja menyambut Deepavali kerana turut menjangkakan mungkin akan menyambutnya di balai raya.


“Kami gembira sebab dapat meraikan Deepavali dan menyambut kedatangan sanak saudara termasuk dari Kelantan yang mungkin berkunjung ke sini.


“Walaupun persiapan sederhana tetapi kami tetap rasa gembira,” katanya berasal dari Pasir Putih, Kelantan.


Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Mohd Rozailan Ibrahim@Mamat turut mengunjungi Rama Chandran sekeluarga sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan menyampaikan sumbangan peribadi daripada Ahmad Razif.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]