Dukung bapa jalani rawatan

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Demi menjaga bapa yang lumpuh, seorang anak sanggup meninggalkan kerjaya di syarikat swasta di Singapura yang memberikan pendapatan lumayan sehingga RM3,000 sebulan sejak enam bulan lalu.


Muhammad Hafizuddin Masdzly, 23, berkata, dia sanggup melepaskan jawatan dan pendapatan lumayan semata-mata untuk menjaga dan berbakti kepada bapanya, Masdzly Misrow, 48.


“Menjaga ayah yang sakit serta tidak boleh bergerak adalah lebih utama kerana kini tiba masanya untuk saya membalas jasanya yang selama ini membesarkan saya dan adik beradik yang lain.


“Ayah memang tidak boleh bergerak langsung dan terpaksa mengharapkan bantuan ibu atau anak-anak untuk menguruskan diri dan disebabkan itu, saya sanggup mendukungnya sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.


Dia ditemui semasa membawa bapanya menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan alternatif di Bandar Utama, di sini, baru-baru ini.


Menurut anak kedua dari tiga beradik itu, ibunya, Tuminah Jalil, 54, juga turut mengalami masalah kesihatan dan urat saraf namun masih mampu bergerak dan menguruskan dirinya sendiri.


Katanya, dia sanggup membelanjakan wang simpanannya untuk membawa bapanya menjalani rawatan sama ada perubatan moden atau alternatif dengan harapan bapanya mampu kembali seperti sediakala.


“Sekarang ini saya bersama adik-beradik yang lain bersama-sama menjaga bapa dan sebagai anak, saya memang sedih apabila ayah tidak mampu untuk bergerak dan kini berat badannya juga susut hampir separuh.


“Ayah juga perlu menjalani rawatan susulan secara berkala di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan saya berharap apa yang berlaku ada hikmahnya kerana ALLAH mungkin sedang menguji keluarga kami,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Rawatan Ceragem Segamat, Noor Aishah Mustaffa, 38, berkata, sejak beberapa bulan lalu, dia melihat sendiri kegigihan Muhammad Hafizuddin yang sanggup mendukung bapanya menaiki 20 anak tangga ke pusat rawatannya.


Menurutnya, dia secara peribadi terkesan dengan pengorbanan ditunjukkan Muhammmad Hafizuddin yang berkorban untuk bapa dan keluarganya dan perlu dijadikan contoh golongan muda.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]