Gotong-royong masak bubur syura, lambuk

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Hampir 300 jemaah sekitar Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 27  bergotong-royong memasak bubur syura dan bubur lambuk sempena kedatangan bulan Muharam 1439 M.


Ketua Hal Ehwal Wanita (Helwa) Masjid Baitul Mahabbah, Zainon Hassan, 51 berkata, pihaknya gembira dengan sambutan ditunjukkan komuniti di sini dan mendapat sokongan daripada semua pihak yang menjayakanya.


“Dengan adanya program seperti ini, mana-mana jemaah yang sebelum ini  mungkin terasa malu atau jarang ke masjid akan mula mendekati dan terbiasa dengan masjid.


“Alhamdulillah matlamat kita untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan mengimarahkan masjid ini berjaya, acara kacau dan makan bubur Asyura adalah bonus dan acara sampingan sebenarnya.


“Ini menunjukkan kesepakatan yang jitu dalam kalangan penduduk di sini dan bubur yang telah siap dimasak diagihkan kepada jemaah berhampiran masjid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.


Beliau yang juga pengarah program bubur 2017 berkata, fungsi masjid bukan semata-mata solat tetapi banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan seperti ini.


Katanya, sebanyak tujuh kawah disediakan untuk mengacau bubur lambuk dan dua kawah bagi  bubur syura utara lemak manis.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]