Hotel bajet lubuk warga asing berkhalwat

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kes tangkapan khalwat di hotel-hotel bajet kini menunjukkan trend semakin ramai pekerja warga asing terbabit dalam kes berkenaan.


Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, kebanyakan mereka bekerja di kawasan perindustrian dan menjadikan hotel bajet sebagai tempat melakukan maksiat.


“Berbanding kes jenayah syariah lain seperti judi, minum arak dan zina, kes berkhalwatlah yang paling ramai melibatkan warga asing,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.


Beliau mengambil contoh, dalam operasi cegah maksiat dilakukan pihaknya di beberapa hotel bajet di sini malam tadi, seramai 12 lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 dan 40 tahun telah ditahan kerana didapati berkhalwat.


Menurutnya, lapan daripada mereka merupakan warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Pakistan.


“Operasi selama dua jam bermula 12 tengah malam itu berakhir kira-kira 2.30 pagi dengan dua kawasan disasar iaitu Permas Jaya dan Seri Alam.


“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk laporan sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk tindakan lanjut,” katanya.


Kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 27(1) a dan b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya.- Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]