Hutan dijadikan sarang penagih

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Kawasan hutan paya bakau di Bagan Sungai Besar perlu dibangunkan semula agar tidak terus menjadi tempat penagih melepaskan gian dan pengedaran dadah.


Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, beliau sendiri berusaha mencari kaedah yang bersesuaian untuk membangunkan kawasan berkenaan.


“Kita amat berharap kawasan ini bebas daripada sebarang aktiviti tidak sihat. Kawasan ini adalah rizab hutan dan saya kena bincang perkara ini dengan pihak-pihak terbabit,” katanya.


Terdahulu, Budiman bersama dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam meninjau lokasi penagihan terbabit.


Tinjauan kira-kira 20 minit di kawasan itu mendapati beberapa penagih dadah kelihatan sibuk berurusan sesama mereka, malah ada dalam kalangan mereka yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus melarikan diri ke hutan bakau berkenaan.


Budiman berkata hasil daripada maklumat pihak berkuasa, terdapat lebih 100 tangkapan melibatkan penagihan dadah di kawasan itu sepanjang tahun.


Malah katanya, beliau memohon kerajaan menambah bilangan keanggotaan dalam kalangan anggota polis dan AADK serta keperluan logistik.


“Saya fikir ini perlu di perhebatkan dalam usaha kita membanteras najis dadah. Kita ambil berat perkara ini dan kita yakin bahawa masyarakat sekitar amat prihatin agar aktiviti tidak sihat ini dapat dihapuskan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]