Kena tipu pegawai bank palsu

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Tiga individu dari sekitar Puchong dan Subang Jaya di sini, berputih mata apabila wang disimpan dalam akaun bank ketiga-tiganya berjumlah hampir RM300,000 lesap selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, mangsa masing-masing seorang akauntan, pegawai operasi syarikat dan suri rumah membuat laporan polis berasingan setelah menyedari ditipu.


Menurutnya, dalam kejadian 6 Oktober lalu, akauntan berusia 52 tahun mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan mangsa melakukan transaksi kad kredit di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kira-kira jam 1.27 petang.


Mangsa yang ketika itu berada di rumah berasa hairan kerana tidak mempunyai apa-apa kad kredit dan tidak pernah berdaftar dengan pihak bank untuk mendapatkan kemudahan tersebut.


Mohammad Azlin berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon didakwa nombor Bank Negara Malaysia (BNM) yang diberi pihak sindiket untuk memaklumkan dia tidak mempunyai kad kredit.


[ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket Scam: Terpedaya janji manis]


[ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati jika dihubungi ‘IPD Putrajaya’]


“Mangsa beritahu dia bercakap dengan ‘pegawai siasatan’ bernama Tuan Gan, dia kemudian diberitahu kod pin akaunnya telah digodam dan diminta pindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun yang kononnya dilindungi oleh BNM.


“Bimbang dengan apa yang diberitahu sindiket, mangsa lakukan tujuh traksaksi pindahan wang sebanyak RM250,000 ke empat akaun berbeza kononnya untuk selamatkan wang itu mengikut prosedur BNM,” katanya mangsa membuat laporan di Balai Polis USJ 8 selepas sedar ditipu.


Beliau berkata, pada 13 Oktober lalu seorang wanita bekerja sebagai pegawai operasi sebuah syarikat menerima panggilan daripada  seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari sebuah bank.


Pegawai bank palsu itu mengatakan perlu mendapatkan pengesahan mangsa berhubung pendaftaran kad kredit yang dibuat.


Mangsa menafikan ada membuat kad kredit kepada ‘pegawai bank’ tersebut sebelum diminta membuat laporan polis dan disambungkan ke satu nombor telefon kononnya dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, Sabah.


“Dia diberitahu akaun banknya perlu dikosongkan untuk keselamatan dan perlu pindahkan wang ke nombor akaun BNM diberikan.


“Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas pindahkan wang sebanyak RM30,000 ke akaun suspek,” katanya mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong.


Dalam kejadian 14 Oktober lalu, Mohammad Azlin berkata, seorang suri rumah pula menjadi mangsa sasaran sindiket.


 Katanya, wanita berusia 20 tahun kerugian RM26,392 selepas diperdaya seorang lelaki yang mendakwa ‘pegawai’ bank tempatan.


Beliau berkata, suspek memaklumkan mangsa mempunyai kes tunggakan kad kredit berjumlah RM3,375.


“Mangsa nafikan dia ada kad kredit jadi ‘pegawai’ tersebut suruh buat laporan polis di Tawau dengan bagitahu kononnya ada pihak guna maklumat diri mangsa.


“Mangsa buat laporan melalui atas talian kerana berada jauh dari Tawau sebelum disambungkan ke ‘IPD Tawau’  dan bercakap dengan seorang ‘anggota polis’,” katanya.


Mohammad Azlin berkata, suspek minta maklumat akaun dan jumlah wang yang ada dalam akaun sebelum menyuruh  mangsa membuat pemindahan wang dalam tempoh 24 jam.


“Wanita itu sedar dia telah diperdaya selepas pindahan wang dibuat suaminya ke satu akaun bank milik individu,” katanya mangsa membuat laporan di Balai Polis USJ 8.


Mohammad Azlin berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan bagi  mengesan sindiket yang mendalangi penipuan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]