Kerusi Cameron Highlands milik MyPPP: Kayveas

in Politik by


SHAH ALAM – Parti Progresif Penduduk (MyPPP) mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands masih milik mereka kerana diambil dan dimanipulasi oleh MIC.


Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas berkata, pada 2000, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berjanji untuk memberikan kerusi parlimen berkenaan kepada beliau.


“Sekiranya kamu tahu asal-usul kerusi Cameron Highlands, kamu akan menyedari kerusi itu perlu kembali ke MyPPP. Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) meminta saya bekerja di Cameron Highlands pada tahun 2000 dan saya mula berkhidmat di sana.


“Sekarang selepas 17 tahun, saya rasa masih ada keperluan untuk saya kembali ke sana daripada minta kerusi orang lain. Saya masih anggap Cameron Highlands pada asalnya milik MyPPP dan ia telah diambil dan dimanipulasi MIC,” katanya seperti dipetik sebuah portal.


Kayveas mendakwa, pada PRU11, beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Cameron Highlands di bawah bendera BN, namun disebabkan manipulasi MIC dia telah dihantar untuk bertanding di Taiping.


“Ia bukan langkah tepat bagi saya kerana saya patut elakkan bertanding di Taiping. Tapi demi parti saya lakukakan,” katanya.


Mengulas lanjut Kayveas berkata, pada PRU12,  beliau sekali lagi diarahkan untuk mempertahankan kerusinya di Taiping manakala MIC kekal di Cameron Highlands.


Pada PRU tersebut Kayveas kalah kepada calon DAP, Nga Kor Ming dengan majoriti 11,293 undi.


Beliau sekali lagi cuba bertanding di Cameron Higlands pada PRU13 namun dinafikan pada saat-saat akhir kerana MIC terus bertanding di kerusi tersebut.


“Saya telah minta kerusi Cameron Highlands daripada MIC dan presiden ketika itu, Datuk Seri G Palanivel setuju untuk serahkan kepada saya.


“Tapi, pada saat-saat akhir Palanivel membuat keputusan yang dia akan menjadi calon BN di Cameron Highlands. Kami diminta untuk berbincang dan membuat keputusan bersama,” katanya.


Beliau berkata, Cameron Highlands menjadi satu kerusi bebas apabila Palanivel tersingkir daripada MIC pada 2015.


“Bila jadi kerusi bebas, sesiap sahaja boleh bertanding. Saya tak ada niat bertanding sebagai calon bebas. Jika kamu seorang yang setia, kamu akan setia dengan parti.


 


“Saya tak kata BN parti sempurna, tapi kalau kamu yakin dengan pasukan berkenaan, kamu perlu kekal dengan mereka dan jangan sesekali menyusahkan mereka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]