Khairy yakin sentuhan magis TMJ terajui FAM

in Sukan by


PEMINAT bola sepak negara diminta supaya jangan cepat menghukum barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas badan induk itu mengharungi tempoh turun naik dalam beberapa perlawanan antarabangsa.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semua pihak sepatutnya lebih positif dan memberi sokongan kepada badan induk itu melakukan perubahan dan menjadikan Malaysia sebagai gergasi bola sepak Asia.


“Kita semua mesti ada mentaliti yang positif. Saya sedih melihat polemik bola sepak negara yang menyerang individu (tertentu) tanpa usul periksa.


“Memberi tumpuan kepada ayat gurauan dan bukan kepada intipati sebenar yang serius, yang suka ejek-mengejek dan mencaci-maki. Mentaliti seperti itu tidak ada pada negara yang berjaya.


“Kita perlu melihat kepada jangka sederhana dan panjang dengan kesabaran. Perubahan dan peningkatan tidak datang dengan sekelip mata.


“Saya sedar kita sudah lama sabar dan menantikan sesuatu, tetapi ingat, kepimpinan FAM baru sahaja dipilih pada 25 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Baru-baru ini FAM yang dipimpin Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak susulan kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober lalu, selain kejatuhan skuad Harimau Malaya ke-170 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Sambil meletakkan kepercayaan kepada Presiden FAM itu, Khairy berharap barisan kepemimpinan FAM tidak mempedulikan ‘suara negatif’ yang dilemparkan terhadap badan induk itu.


“Saya harap kepimpinan FAM akan terus mara. Kita mempunyai barisan kepimpinan FAM yang berwibawa dan diterajui oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai rekod yang cemerlang selaku pemilik JDT.


“Jadi, saya harap kita semua memberi masa kepada beliau untuk membina kejayaan bola sepak Negara. Saya yakin sentuhan magis beliau yang meletakkan JDT di puncak bola sepak rantau Asia Tenggara dapat juga diberikan kepada bola sepak Negara.


“Syaratnya, kita mesti positif dan memberi sokongan kepada FAM untuk buat apa sahaja yang perlu dibuat, mengubah apa sahaja yang perlu diubah, demi menjadikan Malaysia gergasi bola sepak Asia,” katanya lagi.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]