MB turun padang pantau projek

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kebimbangan penduduk Kampung Batin di sini, yang terpaksa melalui laluan rosak bakal berakhir apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri turun padang meninjau perkembangan kerja menurap jalan itu.


Dalam lawatan lebih dua jam itu, Ahmad Bashah menaiki motosikal melawat penduduk di tiga kampung di Dun Bakar Bata untuk menyelami dan menyelesaikan masalah diluahkan mereka.


Ahmad Bashah berkata, dia turun padang demi menyalurkan bantuan dan meninjau kerja naik taraf jalan di kawasan terlibat.


“Melalui tinjauan ini, saya dapati kerja-kerja membaiki laluan kegunaan penduduk sedang dijalankan. InsyaAllah, masalah jalan yang merisaukan penduduk akan selesai tidak lama nanti.


“Saya juga sempat melihat pembinaan surau di Taman Sri Impian. Jikalau ada keperluan atau penambahan diperlukan untuk penduduk, kita akan lihat dan cuba usahakan untuk mereka” katanya selepas ditemui dalam Program Sumbangan Barakah Pasca Banjir di sekitar Mergong,di sini, semalam.


Katanya, dia juga tidak melepaskan peluang menziarahi penduduk yang uzur dan ditimpa kebakaran ataupun banjir, sekaligus menyelami masalah mereka.


Terdahulu, Ahmad Bashah menyampaikan 268 kotak Barakah kepada  di beberapa kawasan,seperti Kampung Batin, Kampung Darat dan Kampung Tandop Batin demi membantu keluarga terlibat.


Penduduk, Hanapiah Man,69, berkata, dia terharu apabila menerima kunjungan Menteri Besar Kedah ke rumahnya di Kampung Batin.


Katanya, dia yang mengidap penyakit penat dan sakit kaki selepas terjatuh di hadapan rumah terpaksa menjalani rawatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.


“Alhamdulillah, pak cik tak sangka MB Kedah sanggup mai rumah. Dengan bantuan Datuk Ahmad Bashah, dapatlah pak cik guna wang sumbangan untuk tampung kos rawatan susulan pak cik,”katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]