
Apa itu sindiket Scam?
SINDIKET didalangi oleh rakyat tempatan atau warga asing dan mereka menghubungi mangsa melalui talian antarabangsa dari luar negara atau tempatan.
Sindiket ini akan menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan untuk mengutip wang dari mangsa. Kemudiannya, wang yang diperolehi tersebut akan dikeluarkan secara tunai sebelum dihantar ke luar negara melalui khidmat ‘money changer’ dan seumpamanya.
Modus Operandi 1: Tipu Pinjaman Bank
SUSPEK memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank. Suspek akan menghubungi mangsa dan menyatakan bahawa nama mangsa atau butiran akaun miliknya telah digunakan untuk membuat pinjaman bank di mana mangsa dikehendaki membayar semula pinjaman yang dibuat.
Bila mangsa cuba menafikan perkara itu, suspek akan memainkan peranan dengan mengarahkan mangsa untuk menghubungi Bank Negara atau memintanya menghubungi nombor yang diberikan. Kemudian, suspek yang lain akan menghubungi mangsa
dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Bank Negara.
Suspek ini akan mengatakan akaun mangsa digunakan untuk kegiatan jenayah dan perlu disiasat.
Mangsa kemudian telah dihubungi daripada suspek ketiga yang menyamar sebagai pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Mangsa akan bercakap dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis yang kononnya menguatkan dakwaan bahawa akaun mangsa digunakan dalam kegiatan jenayah.
Suspek meyakinkan mangsa untuk memindahkan wang ke akaun yang diberikan bagi mengelakkan ia dibekukan atau dirampas.
Modus Operandi 2: Tipu kad kredit
SUSPEK akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank menyatakan bahawa nama dan butiran akaun mangsa telah digunakan untuk membuat kad kredit yang didaftarkan atas nama mangsa.
Mangsa yang menafikan perkara itu telah dimaklumkan suspek cara untuk atasi perkara itu dengan menyambungkan talian ke Bank Negara. Mangsa kemudian dihubungi suspek kedua yang berperanan sebagai pegawai Bank Negara dan telah mengarahkan mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan keselamatan.
Suspek juga berjanji akan memulangkan wang dalam tempoh tujuh hari selepas siasatan selesai dijalankan sebelum terus menghilangkan diri.
Modus Operandi 3: Tipu culik untuk minta wang tebusan
DALAM situasi ini kebanyakan mangsa berusia lingkungan umur 50an ke atas di mana suspek memperdayakan mangsa dengan menghubungi dan memberitahu bahawa anak atau ahli keluarga mangsa telah diculik.
Suspek memberitahu akan mencederakan ahli keluarga sekiranya tidak membayar wang tebusan dan usah melaporkan kepada polis.

Bimbang dengan perkara itu, mangsa telah menyerahkan wang tebusan melalui satu akaun atau meletakkan wang berkenaan di tempat sunyi sebelum diambil suspek.
Setelah wang diserahkan, mangsa gagal dihubungi.
Modus Operandi 4:Tipu menyamar polis bebaskan tahanan
BAGI taktik ini, suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan ahli keluarga mangsa telah ditahan polis berkaitan kes dadah dan sebagainya.
Jika mahu selesaikan perkara itu, mangsa diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.
Namun, setelah wang dimasukkan, suspek gagal dihubungi
Modus Operandi 5: Tipu cabutan bertuah atau peraduan
DALAM kes ini, suspek akan mempengaruhi mangsa dengan memberitahunya telah memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai dari Hong Kong.
Mangsa yang teruja akan diarahkan untuk membayar cukai atau yuran untuk menuntut hadiah berkenaan dengan memintanya membayar sejumlah wang melalui akaun. Namun, setelah wang dimasukkan, suspek gagal gagal menghubungi mangsa.
[ARTIKEL BERKAITAN: PPIM cadang wujud laman sesawang
[AERTIKEL BERKAITAN: Duit lesap sekelip mata
Dalam kes yang lain, suspek akan memberikan SMS kepada mangsa untuk menyertai pelaburan Toto Hong Kong melalui aplikasi Wechat yang menawarkan keuntungan berbentuk tanah atau wang tunai. Bagi menarik perhatian mangsa, suspek akan menggunakan gambar profil seorang wanita cantik.
Mangsa yang terpikat dengan helah itu akan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan sebelum menyedari dirinya ditipu.Bagi kes hadiah pakej pelancongan pula mangsa akan dihubungi dengan memberitahunya telah memenangi hadiah pakej pelancongan. Bagi menebus pakej itu, mangsa perlu bayar wang pemprosesan.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]