Perkukuh polisi intervensi pasaran perumahan

in Politik by


SHAH ALAM -Sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkukuhkan polisi intervensi dalam pasaran perumahan negara ini.


Timbalan Ketua Pemuda Pemuda Pas,Ir Khairil Nizam Khirudin berkata,tindakan itu perlu dilakukan supaya harga rumah di negara ini dapat distabilkan.


“Kawal selia dan penetapan syarat kepada pemaju mesti diadakan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik terutama ‘first-time home buyers’ yang menjadi keperluan generasi muda.


“Ketegasan kerajaan juga perlu untuk menyekat kegiatan spekulasi yang menjadi punca harga rumah melambung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Beliau juga berpendapat mustahil bagi rakyat memasang untuk mempunyai rumah dengan realiti harga rumah ditawarkan pada masa kini.


“Harga rumah terus menunjukkan unjuran peningkatan secara mendadak sejak tahun 2010, sekali gus meletakkan rakyat khususnya generasi muda dalam dilema.


“Hingga lahir ungkapan popular masa kini ‘Rumah Mampu Tengok’ yang mewakili rasa hati dan keluhan rakyat,” katanya lagi.


Jelasnya, ketidakmampuan pembeli memiliki kediaman dapat dilihat berdasarkan rekod tahun 2014 di mana berlaku lebihan tawaran rumah RM500,000 setelah 21 peratus projek perumahan dilancarkan pada harga jualan bawah RM250,000.


“Realitinya harga rumah kini secara purata adalah 4.4 kali ganda berbanding pendapatan kasar tahunan isi rumah.


“Ini menunjukkan rakyat tidak mampu memiliki kebanyakan rumah ditawarkan di pasaran. Malangnya, RMM yang punya permintaan tinggi pula tiada penawaran. Terbaru, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Laporan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan serta Kemudahan Asas Isi Rumah 2016. Laporan itu menyatakan pendapatan isi rumah penengah telah meningkat 6.6 peratus daripada RM4,585 tahun 2014 kepada RM5,228 tahun 2016,” ujarnya lagi.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]