Petronas gesa pengeluar, pengguna LNG bekerjasama

in Bisnes by


PETROLIAN Nasional Bhd (Petronas), yang merupakan pengeluar LNG ketiga terbesar dunia, menggesa pengeluar dan pengguna gas asli cecair (LNG) bekerjasama bagi menggalakkan pertumbuhan dan kemapanan industri berkenaan.


Dalam satu kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata walaupun permintaan terhadap LNG semakin berkembang, namun ada kemungkinan industri itu akan lembap jika harga LNG tidak menggalakkan pelaburan, yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan.


“Hari ini, penggiat pasaran membatalkan dan menangguhkan projek selari dengan harga LNG.


Tanpa pelaburan yang mencukupi, kedua-dua pembeli dan penjual menghadapi masa depan yang tidak menentu dari segi kelestaran perniagaan dan jaminan tenaga,” katanya.


Bercakap  pada  Persidangan Pengeluar-Pengguna  LNG 2017 di Tokyo, Jepun, beliau berkata Petronas juga tidak meneruskan projek LNG yang dicadangkan di Kanada berikutan harga rendah dan kedudukann pasaran yang tidak menguntungkan.


Namun, beliau mengakui kedinamikan  pasaran semasa yang telah mendorong peningkatan kecekapan dalaman, yang telah memberikan PETRONAS dengan ketangkasan yang lebih baik sebagai penggiat LNG bersepadu secara menyeluruh bagi mempercepat pertumbuhan sebaik industri itu kembali meningkat.


Petronas baru-baru ini menyambut kargo ke-10,000nya dari Kompleks LNG Bintulu di Malaysia, yang dihantar ke Jepun pada 4 Oktober.


Ini memperkukuh reputasi tingginya sebagai pengeluar dan pembekal penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dengan rekod prestasi yang sempurna tanpa hilang walaupun satu kargo.


“Menerusi kumpulan sumber yang kukuh, kami  dapat melabur dalam sumber manusia, teknologi  dan inovasi bagi menyediakan penyelesaian tenaga yang melepasi penjualan dan pengedaran LNG. Menerusi pelaburan ini, kami mahu membantu mewujudkan pasaran LNG yang lebih mampan yang mampu menjana ekonomi dunia,” katanya.


Wan Zulkiflee menggesa semua pihak supaya terlibat dalam kerjasama awal ke arah kedudukan pasaran yang saling menguntungkan bagi menggalakkan pelaburan dalam perniagaan bekalan yang lestari dan stabil dalam jangka panjang.


“Walaupun dinamik pasaran semasa tidak menggalakkan perbincangan mengenai penentuan harga gas yang mampan, sebagai penjual dan pembeli, kami mahu membincangankannya.


“Walaupun pertimbangan pembeli tetap menjadi keutamaan kami,turun naik pasaran semasa memerlukan jaminan permintaan.


“Ini penting bagi pengeluar untuk terus melabur dalam menyokong rantaian nilai huluan LNG untuk memenuhi keperluan pada masanya,” katanya.


Menerusi pengalaman lebih 30 tahun dalam perniagaan LNG global bersepadu, Petronas komited untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga bersih yang diperlukan bagi memenuhi matlamat kelestarian dan perubahan iklim dunia.- Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]