Roti golok viral cetus rezeki

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Siapa sangka selepas lebih 10 tahun mengendalikan perniagaan bakeri ‘roti golok viral’, ia menjadi tular sekali gus menjadi melonjakkan perniagaan buat seorang usahawan dari Pasir Gudang.


Pintu rezeki buat pemilik Saudagar Roti, Intan Azura Isnin, 44, terbentang luas selepas resipinya mendapat sambutan menggalakkan ketika bulan puasa lalu.


“Saya anggap ini rezeki keberkatan Ramadan, secara tiba-tiba roti golok atau saya panggil roti butter ini menjadi viral selepas saya memuat naik ke Facebook.

Intan Azura bangga dengan perniagaan Saudagar Roti diusahakan sejak 10 tahun lalu.


“Bayangkan sebelum ini, saya cuma menghasilkan kurang 200 biji roti menggunakan 4 kilogram tepung, namun sejak tular setiap hari saya menggunakan sekitar 12 hingga 18 kilogram tepung untuk menghasilkan lebih 600 biji roti,” katanya ketika ditemui di premis perniagaan di Jalan Bacang, di sini.


Menceritakan kembali permulaan perniagaannya, katanya, ia adalah cetusan hasil minat mendalam suaminya, Jeffridin Hamzah, 50, dalam bidang bakeri dan sedikit pengalaman warisan keluarga mertuanya yang mengusahakan perniagaan tersebut di Kuala Lumpur dan Segamat.


“Saya pada mulanya tidak berminat, namun menghormati minat suami. Mulanya kami jual roti orang lain dan sebelum kami belajar mengikuti kursus dan bengkel.


“Bermodalkan RM30,000 simpanan suami, kami beroperasi dari rumah dan membuka kedai pertama di Felda Bukit Aping (sudah ditutup) dan kemudiannya membuka kedai di Pasir Gudang sejak November tahun lalu,” katanya.


Intan Azura berkata, bermula dengan bekerja berdua bersama suami, beliau kini mampu mengupah dua pembantu untuk menyiapkan tempahan di sekolah-sekolah, kilang dan agensi kerajaan yang bermula hanya dengan ‘cakap-cakap mulut’.


Katanya, antara yang menjadi pilihan di Saudagar Roti ialah roti butter, roti perisa blueberry, peanut butter, coklat selain mayo chicken floss dan sarang lebah.


“Saya tidak berkompromi soal bahan mentah dan proses uli perlu dilakukan sekurang-kurangnya sejam bagi memastikan kehalusan dan tepung sebati dan kami mampu menghasilkan kira-kira 200 biji dalam tempoh tiga jam termasuk pembungkusan.


“Memang menjadi hasrat saya untuk melebarkan perniagaan ke skala yang lebih besar namun ia memerlukan kos bagi belian mesin dan tenaga kerja kerana saya tidak mendapat mana-mana bantuan kewangan, apa yang ada pinjaman semata-mata,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]