Sarawak timbang wujud pusat sehenti kaunseling

in Edisi Sabah Sarawak by


MIRI – Sarawak akan mengkaji kemungkinan  mewujudkan pusat sehenti kaunseling bagi menangani pelbagai masalah sosial di negeri itu, kata  Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.


Beliau berkata pusat sehenti tersebut mungkin boleh diuruskan oleh kerajaan atau NGO atau kerjasama strategik kedua-dua pihak.


“Mungkin ini masa terbaik untuk menubuhkan pusat sedemikian, masyarakat sekarang lebih terbuka,” katanya pada sesi ‘Dialog Input Komuniti Terhadap Isu Sosial’ yang dihadiri lebih 30 ketua- NGO kaum, komuniti dan kampung  di Miri hari ini.


Fatimah berkata demikian susulan cadangan seorang peserta dialog yang berkata penubuhan pusat itu dapat membantu remaja bermasalah seperti terbabit penagihan dadah memandangkan ada sesetengah penagih sukar dipulihkan berikutan kecaman orang sekeliling.


Dalam perkembangan lain, Fatimah mahu ketua-ketua kaum di pedalaman membuat laporan polis dengan segera jika ada kegiatan penjualan bayi di kawasan masing-masing.


“Menjual bayi adalah satu kesalahan dalam undang-undang negara ini,” katanya menjawab dakwaan seorang ketua kaum dari Sungai Asap, Belaga yang mendedahkan ada kegiatan penjualan bayi-bayi dilakukan di kawasannya.


Mengenai masalah perceraian yang berlaku di kawasan luar bandar, beliau berkata kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif untuk mengadakan kursus praperkahwinan untuk pasangan Islam dan bukan Islam serta kursus keibubapaan.


Dalam ucapan perasmian, beliau berkata di Miri, perhatian serius perlu diberikan terhadap masalah remaja hamil tanpa nikah yang mencatatkan 160 kes bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


“Kita sekarang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan untuk membenarkan remaja berkenaan meneruskan persekolahan selepas melahirkan anak supaya tidak ada masalah keciciran,” katanya.-Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]