Terbengkalai hampir setahun

in Edisi by


FELDA SEBERTAK – Pertubuhan Kami Anak Felda kecewa dengan sikap berdiam diri Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera yang gagal meneruskan Projek Tanaman Sayur-Sayuran Secara Fertigasi Gantung, di sini.


Pengerusinya, Rosli Abu Kassim berkata, projek yang dimulakan pada sekitar tahun 2014 itu didakwa terbengkalai hampir setahun tanpa diusahakan oleh peserta PPK menyebabkan tiada hasil yang diperoleh dalam tempoh itu.


Menurutnya, keadaan itu sekali gus merugikan pihak PPK sedangkan modal besar telah diperuntukkan bagi projek tersebut.


“Bila peruntukan telah diberikan, projek pun telah dijalankan…dah tentu kita mahu pulangan modal dan keuntungan. Jadi, bila projek terbengkalai begini, keuntungan tak dapat… modal pusingan pun tiada.


“Kita juga telah suarakan permasalahan dalam mesyuarat PPK, namun tiada jawapan yang konkrit memandangkan pucuk pimpinan dalam PPK juga telah bertukar tangan dengan orang baru,” katanya.


Rosli berkata, sebelum ini projek itu banyak memberi peluang kepada anak peneroka untuk mempelajari bidang pertanian.


Sementara itu, bekas peserta projek, Mohd Azlan Hashim, 38, berkata, dia bersama tiga lagi peserta kecewa dengan pengurusan PPK pada ketika itu kerana didakwa terlalu banyak perkara terselindung yang berlaku.


Katanya, sepanjang tempoh mengusahakan projek itu, tanaman timun secara fertigasi itu sentiasa dalam keadaan baik dan subur malah kerap menerima kunjungan penduduk setempat yang menjadikan kawasan projek itu sebagai lokasi riadah.


“Saya sendiri tak tahu apa masalah PPK. Banyak perkara yang tak boleh dijelaskan mereka. Sedikit sebanyak beri kesan kepada kami sebagai peserta.


“Memang saya kecewa sangat. Kami dah usaha sebaik mungkin, dan hasilnya juga lumayan. Lepas tanaman timun, kami tanam pula cili. Tapi, pihak PPK gantikan kami dengan peserta lain dan akhirnya jadi begini,” katanya.


Mohd Azlan berkata, seharusnya dalam perkara itu, pihak PPK perlu bijak merancang strategi bagi mengelak kerugian.


Sementara itu, Pengurus Besar PPK Bera, Noorhisham Seman berkata, tidak timbul isu terbengkalai atau kerugian pada projek itu kerana pihaknya dalam proses memindahkan projek itu ke lokasi lebih baik.


Menurutnya, kini pihaknya sedang meneliti senarai kontraktor yang berupaya melakukan kerja-kerja pemindahan itu dari tapak asal ke tapak Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi.


“Projek itu diperuntukkan sebanyak RM150,000, dan usaha penanaman sayuran secara fertigasi gantung telah dilaksanakan. Namun, berikutan permasalahan hak milik tanah, kita ambil keputusan untuk berhentikan projek sementara bagi proses pemindahan itu.


“Kalau ada yang kecewa sampai dakwa projek ini terbengkalai, itu tak benar. Kami cuba tangani masalah ini sebaik mungkin untuk elak sebarang kerugian,” katanya.


Noorhisham berkata, PPK akan meneruskan projek fertigasi itu di TPKM Tebing Tinggi di atas seluas tanah 5.6 hektar, malah telah menandatangani perjanjian dengan pihak Pejabat Pertanian Daerah bagi penggunaan tanah itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]