Tidak pernah jemu 40 tahun berkhidmat

in Edisi by


KADOK -Walaupun tidak pernah ada pengalaman bertukar sekolah sejak 40 tahun bergelar pendidik, namun Abdullah Zohdi Ismail sentiasa bersemangat dan teruja untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan guru-guru dan pelajarnya.


Malah menurutnya, beliau antara yang bertuah kerana terus berpeluang menyumbang bakti di sekolah berkenaan sejak pertama kali bergelar pendidik sehingga menamatkan kerjaya berkenaan baru- baru ini.


“Walaupun 40 tahun satu tempoh yang begitu lama, namum saya gembira berada di sini, melihat jatuh bangun sekolah yang diasaskan bapa sendiri, sehingga akhirnya dapat¬† berada pada tahap membanggakan kebelakangan ini.


“Kalau orang kata, berada lama di sesuatu tempat membuatkan kita jemu dan bosan, ia tidak bagi saya kerana di sini guru- guru dan pelajar silih berganti.


“Malah semakin hari saya dapat rasakan kasih sayang mereka sebagai orang lama di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis persaraan beliau di sini baru- baru ini.


Ditanya mengenai prinsip dipegang sejak terlibat dalam dunia pendidikan, Abdullah Zohdi berkata, apa yang dilakukan hanya kerana ALLAH, mungkin disebabkan pegangan itu juga segala urusan membentuk dam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang akademik dan akhlak dapat dilakukan dengan mudah.


Abdullah Zohdi berkata, walaupun dirinya berada di barisan pentadbir, namun dia tidak pernah membina jurang antara dirinya dengan guru- guru dan pelajar malah sentiasa bermesra dengan mereka ibarat satu keluarga besar.


Mengulas lanjut,  Penolong Kanan Sekolah Menengah Ugama Arab Hamidiah Lil Banin Wal Banat itu berkata, dia akan meneruskan kerja- kerja memberi ceramah sebagai mengisi masa terluangnya selepas bersara.


“Saya sudah lama menjadi penceramah di sekolah, jabatan, masjid dan di mana- mana sahaja yang memerlukan khidmat saya.


“Selepas bersara saya akan teruskan dengan tugas- tugas itu kerana ia sebahagian daripada aktiviti rutin sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Pengetua sekolah, Zulkifli Mat Yusoff menyifatkan persaraan Abdullah Zohdi sebagai kehilangan amat besar buat seluruh warga sekolah berkenaan.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan berkata, Abdullah Zohdi merupakan antara guru paling lama di Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan tak pernah bertukar ke mana- mana sekolah sepanjang perkhidmatannya.


“Beliau seorang yang tegas namun disenangi semua guru serta murid di sini. Ketiadaannya amat dirasai kerana bagi saya beliau adalah pembantu yang sangat setia dan tidaj pernah berlaku percanggahan pendapat antara kami.


“Persaraannya suatu kehilangan buat seluruh warga sekolah, bagaimanapun kita mendoakan agar beliau sentiasa ada bersama untuk terus melakar kecemerlangan pelajar- pelajar di sekolah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]