Buaya muncul kerana cari makan

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan bekerjasama dengan Perhilitan untuk menangkap seekor buaya tembaga yang dilihat timbul dan berjemur di sebuah tali air di Kampung Paman sejak minggu lalu.


Pengarahnya, Leftenan Kolonel Che Adam Rahman berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung reptilia berkenaan.


Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Perhilitan untuk menjalankan operasi mengesan dan menangkap haiwan berkenaan.


 “Kes ini merupakan kes terpencil dan kehadiran spesies tersebut berkemungkinan disebabkan sesat dari habitat asal. Namun kita tidak mengambil remeh perkara tersebut.


“Saya sudah pun dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan kerjasama ini amat penting kerana buaya tembaga itu merupakan spesies dilindungi,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk bimbang kehadiran buaya di kawasan tali air]


Menurutnya, spesies buaya tembaga itu merupakan spesies yang boleh dianggap ganas kerana akan menyerang sekiranya berasa terancam.


Mengulas lanjut, Che Adam berkata, kes terbaru itu berbeza daripada penemuan terdahulu di sebatang sungai di Tepoh, Kuala Nerus kerana ketika itu spesies berkenaan dikatakan jinak.


“Dalam kes penemuan terdahulu, buaya tersebut dipelihara penduduk kampung, selain jinak dan selalu diberi makan.


“Apa yang membimbangkan kita sekarang, buaya yang berjemur dan timbul di Kampung Paman tidak diketahui dari mana datang dan berbahaya kepada penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.


Beliau tidak menolak kemungkinan kehadiran buaya tersebut untuk mencari makanan kerana kawasan berkenaan merupakan syurga bagi pemancing udang di daerah ini.


“Spesies ini akan berada di kawasan yang ada banyak udang kerana itu merupakan makanan utama bagi spesies ini,” katanya.


Tambah Che Adam, beliau juga telah mengarahkan anggotanya untuk melakukan rondaan dan pemantauan secara berkala di sepanjang kawasan dilaporkan terdapat haiwan tersebut.


Katanya lagi, pihaknya juga akan melakukan operasi untuk menangkap haiwan tersebut secepat mungkin setelah mendapat maklumat sepenuhnya daripada pihak Perhilitan.


“Kemungkinan dalam masa terdekat ini kita dapat melakukan operasi mengesan dan memindahkan haiwan ini ke habitat asal kerana bimbang ia akan hanyut jauh ke kawasan penempatan apabila musim tengkujuh tiba nanti,” katanya.


Sehubungan itu, Che Adam turut menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak supaya tidak mengganggu haiwan tersebut sekiranya terserempak dan terus memaklumkan kepada pihaknya untuk diambil tindakan.


Semalam, Sinar Harian melaporkan tentang kegusaran pemilik kebun buah-buahan yang melihat buaya berkenaan timbul di tali air tersebut.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]