Cerita ‘rumah pokok’ Bukit Apek

in Edisi Selangor KL by


BUKIT Saga dan Bukit Apek tentunya bukan nama asing bagi para pencinta alam terutamanya pendaki di sekitar Lembah Klang.


Kedua-dua bukit berkenaan terletak bersebelahan, dalam satu hutan simpan yang sama, di mana terdapat dua akses boleh dilalui iaitu dari Ampang atau Cheras.


Selain Air Terjun Bukit Saga dan Air Terjun Bukit Apek, tentu ramai dalam kalangan pendaki menyedari akan kewujudan ‘kediaman’ atas pokok terletak di puncak Bukit Apek, yang turut menjadi antara daya tarikan lokasi riadah dalam rimba itu.


Dikenali sebagai pondok pokok tiga tingkat Seksyen 6, binaan itu nyata menjadi tumpuan kira-kira 200 pendaki setiap hujung minggu yang mahu beristirehat melepaskan lelah setelah beberapa jam memerah keringat untuk tiba di puncak.

Salah seorang pendaki memerhatikan hiasan dalam pondok pokok tiga tingkat itu.


Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui cerita di sebalik usaha mewujudkan keunikan yang satu itu yang kini diangkat sebagai identiti Bukit Apek sejak empat tahun lalu.


Penulis berkesempatan menemui salah seorang daripada ‘jurubina’ pondok berkenaan baru-baru ini yang berkongsi cerita tentang pondok berkenaan.


Hanya mahu dikenali sebagai Sani, 61, warga emas itu mengakui bukan mudah untuk membina pondok di atas bukit itu namun dia bersama lima rakan lain merasakan ia sebagai satu bentuk sumbangan yang boleh diberikan di samping menjadi kepuasan tersendiri.


Berhabis RM10,000


Sani berkata, ketika mula membina pondok itu, sejumlah RM1,500 dibelanjakan untuk membeli papan dan kayu serta bahan pertukangan lain.


Peralatan-peralatan itu digunakan untuk membina struktur pondok dengan lebih kemas dan selamat.

Penulis (berbaju biru) berkesempatan merasai sendiri pengalaman naik ke pondok pokok tiga tingkat bersama kumpulan pendaki daripada Kelab Ekspedisi Jelajah Gunung (EJG) baru-baru ini.


“Kami bersama-sama mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk menyiapkan pondok ini. Apabila siap, kami hanya perlu selenggara dengan tukar kayu dan sebagainya.


“Setakat ini kira-kira RM10,000 telah digunakan memastikan binaan ini terus kukuh dalam tempoh empat tahun ini. Ada juga pendaki yang datang dan beri sumbangan. Jadi dengan wang sumbangan itu kita gunakan serba sedikit untuk baiki apa yang patut,” katanya.


Rumah pertama atau kedua?


Mengakui rasa cinta terhadap alam semula jadi yang begitu mendalam membuatkan Sani lebih banyak menghabiskan waktu di pondok itu berbanding di rumah.


“Seminggu empat ke lima kali saya akan berada di sini. Jika ada kawan-kawan datang kami akan luangkan masa dari pagi hingga petang. Tempat ini dibuka untuk sesiapa sahaja yang mahu datang.

Sani ketika menerangkan sesuatu kepada salah seorang pendaki yang kagum dengan binaan pokok berkenaan.


“Mereka boleh masak dan bersantai kerana ada dapur gas disediakan. Jika hari biasa kadang kala saya akan tutup jika saya tiada,” katanya.


Jaga kebersihan bersama


Cerita Sani lagi, pernah dia membiarkan pondok itu digunakan tanpa pengawalan namun mengecewakan apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang tidak menjaga kebersihan.

Dapur gas turut disediakan untuk kegunaan sesiapa sahaja yang berkunjung ke pondok berkenaan.


Mereka naik tanpa membuka kasut membuatkan lantai pondok kotor dan membiarkan sahaja kekotoran berkenaan.


“Jadi sesiapa saja yang gunakan pondok ini kena jaga kebersihan. Sebab itu mereka perlu tanggalkan kasut jadi bila bersih lagi selesa,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]