Helah konon beri tawaran diskaun

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Jual minyak wangi disyaki tiruan tapi ‘claim’ original.


Itu taktik yang dikesan dalam serbuan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Wan Mhd Yusof W Taib berkata,  serbuan dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah hari hasil maklumat dan risikan.


“Dalam serbuan ini, kita telah menyerbu lima buah premis menjual minyak wangi dan gel mandian pelbagai jenama dan saiz.


“Sebanyak 654 botol minyak wangi dan 57 unit gel mandian berjenama Gucci yang dianggarkan bernilai RM25,560 dirampas,” katanya.


Beliau kemudian mendedahkan modus operandi premis terbabit dan berkata, barangan tersebut dijual secara runcit dengan harga yang mahal dan kononnya adalah barang original.


Katanya, bagi menarik minat pembeli, peniaga di premis terbabit akan menawarkan diskaun dan mengatakan barang itu diperoleh daripada luar negara.


“Kita percaya premis yang dipercayai telah beroperasi setahun lebih ini dimiliki oleh pemilik yang berlainan. Semakan kita juga mendapati ada antara premis ini pernah diserbu sebelum ini, namun membabitkan jenama yang lain,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]