Kedai tomyam turut jadi mangsa

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Setelah kisah empat beranak berkomplot melarikan beg tangan di sebuah restoran disiarkan akhbar ini kelmarin, seorang lagi mangsa tampil mendakwa turut terpedaya dengan taktik sama.


Azril Abdullah, 28, mendakwa, kedai makan diusahakannya bersama isteri di Bagan Ajam, Pulau Pinang pernah menerima kedatangan empat individu dipercayai orang yang sama.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada 6 Oktober lalu semasa isterinya sedang membuat persiapan untuk memulakan operasi perniagaan.


“Seorang wanita datang bersama dua anak perempuan dan seorang anak lelaki menaiki sebuah Perodua Alza. Pemandu kemungkinan suaminya hanya tunggu dalam kereta. Masa itu depa berhasrat memesan makanan dan minuman yang banyak, 100 bungkus setiap satu sebab nak anjur jamuan ulang tahun kelahiran.


“Depa juga tempah makanan untuk dibungkus walaupun dah berkali-kali diterangkan kedai ini baru saja mahu beroperasi. Depa kata tak apa dan sanggup tunggu lama untuk makanan yang dibungkus sementara berbincang mengenai tempahan jamuan,” katanya.


Azril berkata, ketika sedang rancak bersembang, anak lelaki suspek berusia lingkungan 10 tahun dipercayai masuk ke ruang menyimpan beg tanpa disedari.


“Lepas depa balik, baru perasan ada beg hilang termasuk barang kemas dan wang tunai.


“Kerugian dianggarkan RM3,000. Laporan polis juga dah dibuat berhubung kehilangan ini,” katanya.


Susulan itu, Azril menasihatkan pemilik kedai makan supaya lebih berhati-hati dengan tindakan pelanggan yang menyamar bagi mengelak kejadian sama berulang.


Sinar Harian kelmarin turut menyiarkan laporan mengenai empat beranak yang dipercayai berkomplot mengambil beg tangan pemilik restoran di Bandar Laguna Merbok sehingga menyebabkan kerugian lebih RM30,000.


Suspek dikatakan menggunakan pelbagai helah termasuk menjatuhkan kotak minuman dan menambah pesanan sebelum beredar tanpa disedari.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]