Kenal pasti pokok berisiko

in Edisi Terengganu by


PULAU DUYONG – Semua premis kesihatan di seluruh negeri diarah untuk memeriksa pokok berdekatan bangunan masing-masing bagi mengenal pasti risiko kepada orang awam, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil.


Sehubungan itu, semua pengurusan premis kesihatan diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing bagi membincangkan langkah selanjutnya.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, arahan serta merta itu dikeluarkan susulan dua maut setelah kenderaan yang dinaiki mereka tiba-tiba dihempap pokok ketika melalui jalan Batu Rakit berdekatan Kampung Mengabang Lekar pada 7 Oktober lalu.


“Tindakan segera diambil dengan meminta semua premis kesihatan termasuk hospital daerah, klinik kesihatan, klinik desa, pejabat kesihatan dan sebagainya mengenal pasti pokok di kawasan masing-masing yang mendatangkan risiko bahaya.


“Bagi menangani masalah itu, pengurusan premis disaran untuk bekerjasama dengan PBT daerah masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita keti-ka ditemui pada Majlis Penyerahan Ambulans Ba-haru Berspesifikasi Tinggi Kementerian Kesihatan (KKM) Kepada Hospital-Hospital Terengganu di Duyong Marina Resort, di sini.


Menurutnya, sebelum ini, pihaknya terutama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) banyak menerima aduan daripada pelawat berhubung pokok yang ada di sekitar hospital yang dikatakan berbahaya.


“Kita sangat memandang serius perkara ini (aduan) kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa tetapi turut mengancam harta benda,” katanya.


Jelas Mohammad, meskipun aduan kerap diterima, namun pihaknya tidak boleh mengambil tindakan sewenangnya kerana terikat dengan undang-undang PBT.


“Bagaimanapun, kita telah berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan dua lelaki maut termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan pemandu van Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit, setelah kenderaan dinaiki tiba-tiba dihempap pokok dalam kejadian kira-kira jam 1 petang.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]