Kerajaan disaran perkasa automotif

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Institut Automotif Malaysia (MAI) berharap kerajaan akan menumpukan empat teras bagi memacu sektor automotif dalam Bajet 2018 iaitu peluang bagi tenaga kerja tempatan, membuka peluang perniagaan baharu, menyediakan peruntukan untuk pemain industri serta memperkasa perniagaan sedia.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata aspek pekerja tempatan itu penting memandangkan sektor automotif kini mempunyai tenaga kerja asing yang agak ramai, iaitu sekitar 120,000 orang.


“MAI misalnya sejak 2013 lagi telah memulakan program Industrial Profession Certificate (Sijil Profesion Industri) atau IPC dalam usaha menggantikan pekerja asing di sektor automotif dengan tenaga tempatan.


“Sehingga Julai tahun ini, kami telah berjaya menggantikan sekitar 21,000 tenaga pekerja asing. Oleh itu, kami berharap diberi peruntukan untuk meneruskan lagi usaha melatih tenaga tempatan bagi menggantikan pekerja asing,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perkongsian strategik antara MAI dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di sini, hari ini .


Selain itu Madani berkata MAI juga berharap kerajaan menerusi Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini, akan turut membuka peluang perniagaan baharu sektor itu seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).


“Pada masa sama, kami juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan kepada pemain-pemain industri. Ini bagi meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja sedia ada industri itu yang meliputi aspek teknikal dan bukan teknikal,” katanya.


Menurut Madani, usaha memperkasakan perniagaan yang sedia ada di dalam sektor automotif berkenaan pula tidak hanya melibatkan bengkel-bengkel (kenderaan), tetapi juga kepada kalangan pembekal atau vendor. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]