Kerajaan laksana Pelan Fiber Seluruh Negara

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan telah memuktamadkan pendekatan untuk melaksanakan Pelan Fiber Seluruh Negara (NFP) yang dibangunkan bagi memperluas penyediaan dan keupayaan perkhidmatan jalur lebar, kata Menteri  Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini.


Beliau berkata, NFP akan dilaksanakan melalui perkongsian awam swasta yang berpotensi.


Katanya bukti konsep akan dilaksanakan tidak lama lagi di beberapa lokasi di Malaysia melibatkan bandar, pinggir bandar dan zon terpencil.


“Kita kini hidup dalam masa yang menarik dan ekonomi digital memerlukan kita untuk berfikir di luar zon selesa.


“Kita telah melibatkan beberapa pihak seperti Tenaga Nasional Bhd dan penggiat infra utama untuk memanfaatkan rangkaian fiber mereka sedia ada bagi membolehkan akses yang lebih luas dan pantas kepada jalur lebar berkelajuan tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.


Salleh berkata, NFP ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bajet tahun ini, untuk menggandakan kelajuan jalur lebar pada harga lebih rendah menjelang 2019.


“Dengan NFP, kerajaan menjangkakan rakyat akan terus mendapat faedah daripada jalur lebar yang lebih berkualiti pada harga kompetitif dan membolehkan mereka memanfaatkan peluang-peluang yang diberikan oleh ekonomi digital,” katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]